Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 2 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 09 November 2023 | Tahun Persidangan | 2023 | Kategori | Air | Nombor Soalan | 2 | Soalan | Dato' Hajah Mumtaz binti Md Nawi [ Tumpat ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan sejauh manakah bajet dan langkah spesifik dan berfasa yang telah diambil oleh Kementerian terutama kepada negeri yang masih tidak mempunyai empangan khusus untuk air sebagaimana Kelantan bagi memastikan negara kita dapat berhadapan dengan krisis air pada dekad yang akan datang.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian telah mengenal pasti beberapa kaedah alternatif bagi menjamin kelestarian sumber air seperti pembinaan empangan, Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS), empangan bawah tanah, penuaian air hujan dan lain-lain.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada masa ini Kelantan tidak mempunyai empangan bekalan air. Justeru itu, Kerajaan Persekutuan di bawah Rolling Plan Ke-3 (RP3), RMKe-12 telah meluluskan pembinaan TAPS Machang berkapasiti 500 Juta Liter Sehari (JLH) dengan peruntukan geran berjumlah RM650 juta. Projek ini sedang dalam peringkat perolehan, dan mampu menyediakan sumber bekalan air mentah yang mencukupi untuk negeri Kelantan khususnya di daerah Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh sehingga tahun 2030. Projek ini penting untuk dilaksanakan bagi memastikan bekalan sumber air mentah yang sentiasa mencukupi dan tidak terjejas untuk kegunaan loji rawatan air (LRA) yang terlibat terutamanya pada musim kemarau.
Selain itu, langkah-langkah persediaan turut diambil oleh operator air setiap negeri untuk memantau kecukupan sumber bekalan air mentah, meliputi aspek paras sungai dan paras empangan bagi memastikan air mentah adalah mencukupi untuk agihan bekalan air kepada pengguna.
Sekiranya berlaku krisis bekalan air, pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan menyelaras bantuan sesama operator air negeri dalam memberi bantuan teknikal dan menyediakan lori tangki ke negeri-negeri yang berkaitan selaras dengan Memorandum Persefahaman (MOU) yang telah dimeterai bersama.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|