Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

09 November 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

18

Soalan

Tuan Haji Wan Hassan bin Mohd Ramli [ Dungun ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan penyelesaian rungutan rakyat terhadap isu tarif elektrik (bil TNB) yang tinggi dan apakah langkah Kementerian bagi membantu rakyat.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, 


  1. Tarif elektrik disemak setiap enam bulan sekali melalui mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) dengan mengambil kira kos sebenar bahan api dan penjanaan lain bagi tempoh enam bulan ke belakang. Berdasarkan mekanisme ICPT ini, semua pengguna perlu membayar bil elektrik masing-masing setelah semakan dibuat dan diselaraskan melalui pemberian rebat atau surcaj. Ini bermakna, secara prinsipnya semua pengguna sepatutnya membayar tarif elektrik mengikut penggunaan mereka berdasarkan harga bahan api di pasaran.


  1. Sejak pelaksanaan ICPT pada tahun 2014 sehingga Jun 2023, semua pengguna domestik di Semenanjung tidak pernah dikenakan surcaj ICPT. Bermula pada Januari sehingga Jun 2021, semua pengguna domestik telah menikmati rebat 2 sen/kWj berdasarkan semakan ICPT bagi tempoh enam bulan sebelumnya. Walau bagaimanapun, Kerajaan telah memutuskan supaya rebat 2 sen/kWj tersebut kekal dinikmati oleh semua pengguna domestik sehingga 30 Jun 2023 walaupun kos ICPT telah meningkat dengan mendadak disebabkan oleh peningkatan harga bahan api terutamanya arang batu di pasaran dunia. Pemberian rebat tersebut berbanding kadar surcaj sebenar yang sepatutnya dilepaskan kepada pengguna dilaksana melalui pemberian subsidi menggunakan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) dan Kementerian Kewangan. 


  1. Secara keseluruhannya, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM10.6 bilion bagi pemberian subsidi elektrik kepada pengguna domestik sejak Januari 2022 sehingga Disember 2023. Keputusan pemberian subsidi elektrik oleh Kerajaan ini bertujuan supaya peningkatan harga bahan api di pasaran dunia bagi penjanaan elektrik tidak dilepaskan kepada rakyat secara keseluruhannya bagi mengelakkan impak kenaikan kos sara hidup secara mendadak.

  2. Selaras dengan dasar Kerajaan untuk melaksanakan subsidi elektrik secara bersasar, Kerajaan telah bersetuju untuk melepaskan surcaj ICPT pada kadar 10 sen/kWj kepada pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan yang tinggi iaitu melebihi 1,500 kWj mulai 1 Julai 2023 sehingga 31 Disember 2023. Kerajaan percaya bahawa keputusan untuk mengenakan surcaj sebanyak 10 sen/kWj kepada pengguna elektrik ini adalah tepat memandangkan rata-rata pengguna elektrik yang menggunakan elektrik melebihi 1,500 kWj setiap bulan atau bil elektrik bulanan minimum RM708 adalah golongan berpendapatan tinggi yang mempunyai banyak peralatan dan kemudahan yang menggunakan elektrik di kediaman masing-masing. Sungguhpun begitu, Kerajaan melalui Kementerian Kewangan masih menanggung subsidi berjumlah RM58 juta kepada kumpulan pengguna ini disebabkan surcaj sebenar tidak dilepaskan sepenuhnya.


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, Kementerian masih komited untuk meneruskan Program Rebat Bil Elektrik RM40 pada tahun 2024. Program ini akan menyalurkan bantuan secara bersasar sehingga maksimum RM40 untuk membiayai bil elektrik bulanan Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin tegar yang berdaftar dan disahkan melalui Sistem eKasih bagi meringankan beban kewangan dan kos sara hidup rakyat. Pada tahun 2022 seramai 120,135 KIR telah menerima manfaat melalui program ini. Manakala sehingga 31 Julai 2023, seramai 63,917 KIR juga telah menerima manfaat yang sama.


  1. Kementerian sentiasa menyarankan pengguna-pengguna elektrik sama ada pengguna domestik mahupun bukan domestik untuk sentiasa mempraktikkan amalan cekap tenaga. Antaranya, meneroka potensi solar melalui pemasangan sistem solar bagi kegunaan sendiri (self-consumption – SelCo) atau menyertai Program Net Energy Metering 3.0 (NEM 3.0). Kementerian juga menyarankan pengguna elektrik untuk mengamalkan penggunaan elektrik secara cekap dengan menggunakan peralatan cekap tenaga yang mendapat penarafan 4 atau 5 bintang oleh pihak Suruhanjaya Tenaga. Inisiatif-inisiatif ini dapat membantu pengguna elektrik untuk mengurangkan bil elektrik mereka pada masa akan datang.


  1. Selain itu, pada masa ini Kementerian masih meneliti opsyen-opsyen pelepasan surcaj ICPT yang munasabah kepada pengguna-pengguna elektrik di Semenanjung bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024. Ini selaras dengan fokus semasa Kerajaan supaya pemberian subsidi elektrik dilaksanakan secara bersasar berdasarkan jumlah penggunaan elektrik mengikut kediaman bagi pengguna kategori domestik terutamanya yang menggunakan elektrik dengan kadar yang tinggi. Walau bagaimanapun, cadangan pelaksanaan pelarasan tarif elektrik di bawah mekanisme ICPT bagi tempoh tersebut akan dimuktamadkan dalam masa terdekat setelah mendapat persetujuan daripada Jemaah Menteri kelak.


Sekian, terima kasih.



Attachments