Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 2 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 09 November 2023 | Tahun Persidangan | 2023 | Kategori | Mineral, Geosains | Nombor Soalan | 55 | Soalan | Tuan Shaharizukirnain bin Abd. Kadir [ Setiu ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan inisiatif Kementerian dalam usaha mengembangkan pemprosesan REE terutama di 10 negeri yang mempunyai hasil galian tersebut bagi mendepani dasar China yang mengehadkan jumlah eksport logam REE sekaligus mampu menjana sumber pendapatan negara.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua, Seperti sedia maklum, usaha Kerajaan dalam membangunkan industri unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di peringkat huluan telah dinyatakan sebelum ini melalui penyediaan dokumen Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan NR-REE. Di samping itu, kerjasama Kementerian dengan Kerajaan Negeri Perak bagi melaksanakan Projek Perintis Perlombongan NR-REE di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak juga telah meningkatkan pengetahuan mengenai pembangunan mineral tersebut di peringkat huluan, khususnya mengenai kaedah perlombongan in-situ leaching yang tidak pernah digunakan di Malaysia.
Seterusnya, pada masa ini Kementerian sedang dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan Kajian Model Perniagaan (Business Model) Bagi Pembangunan Industri NR-REE di Malaysia dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia. Kajian tersebut memberikan kefahaman yang jelas terhadap keseluruhan ekosistem industri NR-REE di Malaysia, serta boleh dijadikan rujukan dan panduan dalam pembangunan industri NR-REE negara.
Melalui kajian tersebut, Malaysia diyakini mempunyai potensi yang besar untuk terlibat secara langsung dalam industri di peringkat hiliran sebagai salah satu negara pengeluar super magnet dan motor elektrik di dunia bagi menyokong perkembangan industri pembuatan kenderaan elektrik. Namun demikian, ia hanya boleh direalisasikan dengan adanya industri pertengahan tempatan bagi memproses sumber RE Carbonate yang dihasilkan oleh lombong-lombong tempatan.
Oleh yang demikian, dalam merangka strategi pembangunan industri pertengahan NR-REE negara, pilihan masih terbuka sama ada untuk memanfaatkan keberadaan Lynas Advanced Material Plant (LAMP) di Kuantan, atau melalui pembangunan loji pemprosesan di lokasi yang lain. Sudah ada Kerajaan Negeri yang adakan perbincangan dengan pelabur untuk pemprosesan NR-REE. Namun, harus ditekankan bahawa sebarang keputusan yang dibuat perlu mengambil kira pertimbangan seperti keupayaan kos, ketersediaan kepakaran, serta jaminan bekalan sumber bagi memastikan pelaburan yang dibuat adalah berdaya maju.
Kementerian akan mengadakan libat urus bersama pemegang taruh bagi meneliti cadangan membangunkan loji pemprosesan nadir bumi (Rare Earth Processing Plant - REPP). Cadangan pewujudan REPP ini adalah bagi mengelakkan sumber NR-REE dieksport secara mentah ke luar negara serta pada masa sama, adalah untuk menggalakkan sumber mineral NR-REE diproses di dalam negara bagi memberikan nilai tambah dan memberikan manfaat yang lebih besar kepada negeri dan negara.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|