Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

09 November 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

57

Soalan

Dato' Indera Dr. Suhaili bin Abdul Rahman [ Labuan ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan menyatakan usaha proaktif Kementerian bagi mengelakkan kejadian pembakaran terbuka dan insiden jerebu rentas sempadan termasuk dari aspek penguatkuasaan dengan kerjasama negara Indonesia.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dan jabatan-jabatan di bawah seliaan sentiasa bersiap siaga dalam memantau kualiti udara di dalam negara terutama semasa cuaca panas dan kering. Pelbagai usaha dan inisiatif bagi mencegah insiden pembakaran terbuka dan jerebu setempat di dalam negara termasuk langkah-langkah menangani isu jerebu rentas sempadan telah dilaksanakan. 


  1. NRECC telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan Bil. 1 Tahun 2023 (26 Mei 2023) dan Bil. 2 Tahun 2023 (12 September 2023) bagi melaporkan status terkini keadaan cuaca, kualiti udara, merancang tindakan dan strategi bagi mencegah pembakaran terbuka serta jerebu setempat, di samping mengatur persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya insiden jerebu merentas sempadan. Mesyuarat ini dihadiri oleh kementerian, jabatan dan agensi berkaitan serta Kerajaan Negeri termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Kementerian Kesihatan yang akan bekerjasama dalam mengambil tindakan sekiranya berlaku jerebu.


  1. NRECC dan jabatan di bawah seliaan juga turut mengambil beberapa langkah proaktif seperti berikut:


  1. pengaktifan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) sejak 2 April 2023 bagi pelaksanaan tindakan pencegahan, pemantauan, pemadaman dan penguatkuasaan dalam menangani pembakaran terbuka oleh kementerian, jabatan dan agensi terlibat;


  1. pengaktifan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka dan Prosedur Standard Operasi Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut kepada semua pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri dan agensi-agensi negeri terbabit pada 29 Mac 2023;


  1. kekerapan dan kawasan rondaan serta pemantauan udara melalui dron juga dipertingkatkan di kawasan berisiko dan mudah terbakar seperti kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah oleh Pihak Berkuasa Negeri;


  1. pelaksanaan penguatkuasaan secara bersepadu dan pengguatkuasaan Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), di mana mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 (lima ratus ribu ringgit) atau penjara selama tempoh sehingga 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Disamping itu, kompaun sehingga RM2,000 (dua ribu ringgit) boleh dikenakan atas setiap kesalahan;


  1. pemantauan komuniti turut diperkasakan melalui Program Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) bagi membantu memantau kes-kes pembakaran terbuka;


  1. program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam dan program penyertaan komuniti turut dipertingkatkan sebagai tindakan pencegahan; dan


  1. pemantauan berterusan status kualiti udara semasa melalui 65 stesen automatik JAS dan status cuaca semasa dan ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).


  1. Selain itu, program-program peningkatan keupayaan, kesedaran, pendidikan, pembangunan infrastruktur bagi mencegah kebakaran kawasan tanah gambut yang sering terbakar dan sistem amaran awal merupakan antara usaha jangka pendek yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia untuk mengatasi masalah pembakaran terbuka dan jerebu setempat (di dalam negara) serta jerebu merentas sempadan.


  1. Inisiatif peringkat antarabangsa bagi menangani pencemaran jerebu merentas sempadan telah bermula sejak tahun 2002 dengan termeterainya Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Merentas Sempadan (ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution – AATHP) yang ditandatangani oleh 10 buah negara ASEAN di Kuala Lumpur pada        10 Jun 2002.

 

  1. Di bawah perjanjian ini, Meeting of the Committee (COM) Under the Conference of the Parties dan Conference of the Parties (COP) to the ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution melibatkan semua negara anggota ASEAN serta Technical Working Group (TWG) dan Sub-Regional Ministerial Steering Committee (MSC) on Transboundary Haze Pollution melibatkan lima negara di Selatan rantau ASEAN (Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand) diadakan setiap tahun bagi memantau situasi cuaca, keadaan jerebu dan membincangkan langkah-langkah pencegahan kejadian jerebu merentas sempadan di rantau ini.

 

  1. Saya telah mengetuai Delegasi Malaysia menghadiri Mesyuarat Ke-24 TWG dan MSC pada 7 dan 8 Jun di Singapura. Pada 22 hingga   24 Ogos 2023, Delegasi Malaysia diketuai oleh YB Timbalan Menteri NRECC telah menghadiri Mesyuarat Ke-17 Menteri-menteri Alam Sekitar ASEAN, Mesyuarat Ke-18 COP AATHP dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di Vientiane, Lao PDR. Melalui mesyuarat ini, telah dilaporkan bahawa fenomena El Niño dijangka akan berpanjangan hingga penghujung tahun 2023. Semua negara anggota ASEAN telah melaporkan tindakan dan strategi masing-masing dalam pencegahan pembakaran terbuka dan jerebu serta memberikan komitmen untuk memastikan inisiatif-inisiatif yang ditetapkan di dalam Second ASEAN Haze-Free Roadmap (roadmap baharu) dilaksanakan sewajarnya bagi mencapai matlamat ASEAN Bebas Jerebu menjelang 2030.


  1. Dalam sesi yang sama, Perjanjian Penubuhan ASEAN Coordinating Centre for Transboundary Haze Pollution Control (ACC THPC) telah dimuktamadkan. Melalui penubuhan ACC THPC yang berpusat di Indonesia kelak, pengurusan kebakaran dan insiden jerebu merentas sempadan akan lebih terselaras. Malaysia sentiasa komited dan sedia bekerjasama ke arah penubuhan dan pengoperasian pusat ini yang akan menyokong pelaksanaan penuh AATHP dengan lebih efektif dan berkesan.  


  1. Pada masa ini, tiada tindakan punitif boleh diambil di bawah AATHP ke atas syarikat atau negara yang menyebabkan jerebu merentas sempadan di negara-negara ASEAN yang terjejas. Semua isu dan pertikaian perlu diselesaikan secara rundingan dan kesepakatan (amicable) selaras dengan perjanjian ini. Namun, Kerajaan akan meneliti perkara ini dan mengusulkan cadangan penambahbaikan kepada AATHP dalam sesi mesyuarat akan datang. 


  1. Kerajaan juga tidak menolak sebarang cadangan untuk menangani masalah jerebu rentas sempadan termasuklah keperluan Akta Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan, tetapi ia perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk keberkesanan dan kebolehlaksanaannya. Perjanjian dua hala seperti yang dimeterai oleh Amerika Syarikat dan Kanada melalui US-Canada Air Quality Agreement juga boleh dicontohi keberkesanannya. Namun, usaha ini memerlukan komitmen kedua-dua pihak dan Kerajaan Malaysia sedia untuk terus berunding agar isu ini dapat diselesaikan bersama.


  1.  Justeru itu, NRECC akan mengadakan sesi libat urus dengan Panel Penasihat dan Panel Konsultasi, pihak-pihak berkepentingan serta pakar-pakar bagi mendapatkan input dan pandangan berhubung penyelesaian yang holistik kepada permasalahan ini. 


  1. Selain itu, NRECC juga telah mengadakan mesyuarat bersama Bursa Malaysia, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan Kementerian Luar Negeri (KLN) bagi membincangkan mekanisme pelaporan syarikat-syarikat perladangan milik Malaysia atau berkaitan Malaysia yang beroperasi di luar negara bagi memastikan langkah-langkah pencegahan kebakaran ladang dan premis diambil sewajarnya.


  1. NRECC juga telah mengemukakan surat kepada syarikat perladangan milik Malaysia atau berkaitan Malaysia yang beroperasi di dalam dan di Indonesia untuk memastikan langkah-langkah pencegahan pembakaran terbuka di kawasan ladang diambil sewajarnya bagi mengelak berlakunya kebakaran ladang dan hutan gambut yang menjadi punca utama insiden jerebu tempatan dan jerebu merentas sempadan di rantau ini.


  1. NRECC melalui KLN telah mengemukakan surat kepada TYT Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia bagi memaklumkan usaha Malaysia bagi memastikan syarikat berkaitan Malaysia yang beroperasi di Indonesia untuk mengambil tindakan pencegahan kebakaran ladang dan tanah gambut bagi mengelak insiden jerebu.


  1. Malaysia turut mengadakan kerjasama dua hala dengan kerajaan Indonesia bagi usaha-usaha pencegahan jerebu secara “Government-to-Government” di bawah kerangka Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan. Pihak Indonesia telah menunjukkan komitmen untuk menangani masalah jerebu merentas sempadan sejak kejadian jerebu 2015 dan telah melaksanakan “Indonesia’s Plan of Action (PoA) in Dealing with Transboundary Haze Pollution” melalui inisiatif berikut:


  1. penubuhan agensi khas bagi memulihkan tanah-tanah gambut yang telah terbakar (Peat Restoration Agency);


  1. pelaksanaan “One Map Policy” iaitu pembangunan peta digital/geospatial bagi seluruh Indonesia; dan


  1. pelaksanaan Arahan Presiden (Presidential Directive) yang berkuatkuasa pada 18 Januari 2016. Ia meliputi arahan untuk tidak mengeluarkan permit baru bagi konsesi di tanah gambut (permit moratorium), pencegahan dan amaran awal jerebu, pengenaan hukuman yang tegas, pemuliharaan ekosistem tanah gambut, penguatkuasaan undang-undang serta kerjasama erat (sinergy) antara Kerajaan Pusat dan Tempatan (provinsi).



  1. Malaysia akan terus komited dan sedia bekerjasama khususnya dalam bidang pembangunan keupayaan, perkongsian maklumat dan kepakaran dalam aspek penguatkuasaan undang-undang pembakaran terbuka, teknologi perladangan tanpa pembakaran (zero burning), pengurusan tanah gambut yang mampan dan latihan pemadaman kebakaran.


Sekian, terima kasih.​

Attachments