Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

22 November 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Mineral, Geosains

Nombor Soalan

1

Soalan

Tuan Tan Kar Hing [ Gopeng ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan perancangan Kementerian dalam memastikan industri perlombongan NR-REE tanpa meninggalkan kesan terhadap kelestarian alam sekitar dan impak sosial kepada penduduk.

Jawapan

 Tuan Yang di-Pertua,

 

  1. Bagi memastikan aktiviti perlombongan mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mampan, Kementerian telah membangunkan prosedur operasi standard (SOP) Perlombongan NR-REE di Malaysia bagi mengawal selia aktiviti perlombongan mineral. SOP tersebut menyediakan prosedur yang teratur bagi aktiviti di peringkat pra-perlombongan, semasa perlombongan dan pasca-perlombongan.


  1. Kerajaan juga masih memperhalusi idea perlombongan NR-REE di HSK kerana implikasinya. SOP ini telah dipersetujui untuk digunapakai oleh Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM) bertarikh 2 Oktober 2023 yang dihadiri oleh Menteri-Menteri Besar, Ketua Menteri dan Exco-Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab ke atas pengurusan mineral di negeri masing-masing.


  1. SOP ini menekankan perkara-perkara penting yang sering menimbulkan kegusaran mengenai kesan aktiviti perlombongan kepada alam sekitar serta ekosistem biodiversiti. Antaranya seperti :


(i)  penetapan perlombongan NR-REE daripada lempung jerapan ion (ion adsorption clay) untuk menghasilkan RE Carbonate yang tidak melibatkan penghasilan bahan radioaktif;

(ii)  penggunaan kaedah perlombongan secara in-situ leaching (ISL) yang tidak melibatkan pembukaan kawasan yang besar seperti lazimnya berlaku dalam aktiviti perlombongan mineral lain yang menggunakan kaedah lombong terbuka;

(iii) penetapan kaedah pemantauan yang teratur dan berkala, termasuk pembinaan telaga pemantauan bagi mengesan sebarang pencemaran kepada sumber air bawah tanah; dan

(iv) keperluan untuk penyediaan kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) sebelum kelulusan bagi menjalankan aktiviti perlombongan boleh diberikan.

  1. SOP ini telah dibangunkan berdasarkan SOP Perlombongan NR-REE di Negeri Perak yang diguna pakai untuk pembangunan Projek Perintis Perlombongan NR-REE di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak. Berdasarkan kepada pengauditan yang dijalankan, boleh disimpulkan bahawa SOP ini mampu untuk mengawal selia aktiviti perlombongan NR-REE dengan baik disamping menangani impak sosial.


  1. Selain itu, Kementerian juga akan meneliti keperluan daripada aspek perundangan sedia ada seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127], Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313], Akta Pembangunan Mineral 1994 [Akta 525] dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] di samping meneliti Tatacara Pelaksanaan Pengauditan Pematuhan Kendiri ke Arah Industri Perlombongan yang Bertanggungjawab dan Mampan (Self Regulatory Auditing for Responsible and Sustainable Mining Industry).

 Sekian, terima kasih.

Attachments