Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 2 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 22 November 2023 | Tahun Persidangan | 2023 | Kategori | Air | Nombor Soalan | 9 | Soalan | Tuan Khoo Poay Tiong [ Kota Melaka ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan tentang Empangan Durian Tunggal, Asahan Dan Jus yang disenaraikan oleh SPAN sebagai berisiko tinggi dengan menyatakan tindakan yang boleh diambil dan berapakah peruntukan akan diberikan untuk empangan-empangan tersebut agar mampu berfungsi menjamin bekalan air yang mencukupi kepada pengguna di Melaka.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) baru-baru ini adalah berdasarkan kepada Laporan Pemantauan Bekalan Air 2022 mengenai empangan yang berisiko tinggi. Ingin saya jelaskan di sini, penilaian risiko empangan ini mengambilkira usia, rekod paras dan simpanan air empangan serta jumlah loji rawatan air (LRA) di kawasan empangan dan bukanlah berkaitan keselamatan struktur empangan itu sendiri.
Bagi menjamin kelestarian sumber bekalan air, SPAN telah mengambil inisiatif seperti berikut:
mengadakan Bengkel Pelan Tindakan & Langkah Mitigasi terhadap Fenomena El-Nino dengan semua pihak berkepentingan. Sembilan (9) Pelan Tindakan telah dikenal pasti termasuk pemantapan pelan komunikasi di antara pihak berkepentingan, penyelarasan dengan operator bekalan air dan pembetungan serta tindakan-tindakan yang perlu diambil oleh SPAN antaranya kajian semula Perjanjian Persefahaman (MOU) di kalangan operator air dan garis panduan sedia ada;
penyelarasan bersama agensi-agensi berkaitan seperti Bahagian Bekalan Air (BBA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Jabatan Meteorologi Malaysia, Badan Kawal Selia Air Negeri serta Operator Empangan berkaitan isu-isu pelepasan dan simpanan air di empangan; dan
pengurusan dan pemantauan simpanan yang sistematik serta penyediaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengoperasian Empangan semasa musim panas atau kemarau termasuklah kajian unjuran inflow forecasting dan kapasiti empangan bagi pengurusan sumber air yang lebih berkesan.
Tanggungjawab untuk memastikan sumber air yang mampan merupakan tanggungjawab semua pihak termasuk Kerajaan Negeri dan juga pengguna.
Dengan ini, saya menyeru supaya Kerajaan Negeri turut bersama mengambil langkah proaktif dengan mengawal aktiviti guna tanah dan pencemaran. Pengguna juga diharap dapat mengamalkan penggunaan air secara berhemah.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|