Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

22 November 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Mineral, Geosains

Nombor Soalan

25

Soalan

Tuan Lee Chuan How [ Ipoh Timor ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan strategi terkini untuk mengurangkan kebergantungan global bagi REE.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Seperti sedia maklum, NR-REE merupakan mineral strategik yang diperlukan oleh dunia dalam penghasilan pelbagai produk berteknologi tinggi, termasuk dalam industri tenaga boleh baharu. Sasaran yang ditetapkan oleh pengeluar-pengeluar utama kenderaan untuk peralihan kepada kenderaan elektrik pada tahun 2030 telah meningkatkan permintaan kepada sumber NR-REE yang diperlukan bagi penghasilan super magnet dan motor elektrik.


  1. Menyedari trend ini, Malaysia sebagai salah satu negara yang mempunyai sumber NR-REE yang banyak, tidak seharusnya melepaskan peluang untuk mengoptimumkan penggunaan sumber ini bagi memberikan impak yang signifikan kepada kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Dalam konteks mineral ini, ia hanya bermanfaat sekiranya diekstrak dan dibangunkan untuk menjadi input bahan kepada industri lain.


  1. Pada masa ini, Kementerian telah mengambil inisiatif untuk merangka model perniagaan  atau business model bagi pembangunan industri NR-REE dalam keseluruhan rantaian nilai dari peringkat huluan, pertengahan dan hiliran, berteraskan kepada prinsip kemampanan dan kebertanggungjawaban.


  1. Namun begitu, Kementerian melalui JMG juga sedang berusaha untuk meneroka sumber-sumber lain yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai sumber alternatif dan baharu. Dalam hal ini, Kementerian menyedari beberapa strategi dan inisiatif perlu digerakkan bagi mempelbagaikan penawaran sumber mineral seperti berikut:


  1. penekanan terhadap konsep ekonomi kitaran atau circular economy seperti proses kitar semula komponen mineral dari bahan-bahan elektronik terpakai dan penggunaan bahan sisa perlombongan bagi menghasilkan produk baharu yang boleh dikomersialkan. Ia secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan kepada sumber nadir bumi;


  1. mempergiatkan kerja-kerja penyelidikan dalam membangunkan teknologi berasaskan mineral baharu bagi mengurangkan kebergantungan kepada mineral-mineral sedia ada.  JMG melalui Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) bertanggungjawab untuk menerajui penyelidikan dan pembangunan mineral dalam membangunkan teknologi bagi mineral tempatan sedia ada dengan kerjasama institut-institut pengajian tinggi (IPT) tempatan seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP);


  1. penyertaan JMG dalam platform bidang kerjasama dan forum diperingkat serantau dan antarabangsa, antaranya seperti  ASEAN Senior Officials Meeting In Minerals (ASOMM), Coordinating Committee for Geoscience Programmes (CCOP) dan United Nation Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP) bagi mengikuti perkembangan pembangunan dan teknologi terkini berkaitan industri mineral; dan


  1. penerokaan sumber alternatif seperti daripada Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC) iaitu penjanaan tenaga boleh baharu daripada lautan yang memberikan hasil sampingan hidrogen dan lithium.

 

  1. Kementerian percaya melalui kolaborasi dengan pelbagai pihak dan perkembangan teknologi semasa, negara akan menemui sumber-sumber baharu yang boleh diteroka di masa akan datang.

 

Sekian, terima kasih.​

Attachments