Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 2 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 22 November 2023 | Tahun Persidangan | 2023 | Kategori | Air | Nombor Soalan | 32 | Soalan | Dato' Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff [ Rantau Panjang ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan tindakan segera Kerajaan dalam menghadapi Monsun Timur Laut yang mengakibatkan banjir yang akan berlaku di negeri Pantai Timur sebagai langkah untuk mengatasi KESBAN yang masih belum siap sepenuhnya.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengambil beberapa tindakan kesiapsiagaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut di Pantai Timur seperti berikut:
Pelaksanaan pelan tindakan kepada kerja-kerja penyelesaian berimpak tinggi berkos rendah seperti penyelenggaraan sistem saliran, mendalamkan sungai dan meninggikan benteng sungai melalui peruntukan Kerja-Kerja Pemuliharaan Sungai Untuk Mengurangkan Risiko Banjir (RMKe-12) berjumlah RM24 juta bagi negeri Kelantan; Penyaluran peruntukan kerja-kerja kecemasan luar jangka bagi tahun 2023 kepada Negeri Kelantan berjumlah RM10 juta, Negeri Terengganu berjumlah RM7 juta dan Negeri Pahang berjumlah RM7 juta; Pelaksanaan Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara, (PRAB). PRAB Fasa 1 melibatkan tiga (3) lembangan sungai iaitu Lembangan Sungai Kelantan, Lembangan Sungai Terengganu dan Lembangan Sungai Pahang telah bermula pada tahun 2015 dan telah mula beroperasi pada tahun 2017. Manakala PRAB Fasa 2C telah dimulakan pada tahun 2019 melibatkan 11 lembangan sungai di negeri di Pantai Timur termasuk sungai Golok di Kelantan. Model Ramalan Banjir PRAB Fasa 2C telah beroperasi pada tahun 2022 untuk membolehkan amaran awal banjir diberikan kepada penduduk di Negeri Pantai Timur semasa musim Monsun Timur Laut; dan Menambah baik aset-aset pemantauan dan amaran awal persediaan banjir di kawasan Pantai Timur. Antara aset yang disediakan di pantai timur adalah 274 pam bergerak pelbagai kapasiti, 33 kenderaan, 13 buah bot, dan 379 stesen telemetri.
Selain itu, bagi mengurangkan impak banjir termenung pihak JPS juga telah melaksanakan kerja-kerja segera bagi pembinaan alur limpah di Sungai Lemal Lanchang.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|