Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

28 November 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Tanah, Ukur dan Pemetaan, Geospatial

Nombor Soalan

10

Soalan

Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman [ Kuala Krai ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan :-

a) ada Kementerian berhasrat menaik taraf Bahagian Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) kepada sebuah jabatan khusus yang lebih lengkap keperluannya; dan


b) apa langkah terkini Kementerian dalam menangani isu lambakan tunggakan kes pembahagian pusaka khususnya selepas Rang Undang-Undang Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021 diluluskan Parlimen.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dalam peringkat memperhalusi Pelan Pengukuhan Perjawatan, Bahagian Pembahagian Pusaka bagi menangani isu peningkatan permohonan kes. Pengukuhan Bahagian tersebut adalah selaras dengan pindaan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98] yang telah memperluas had nilai pengurusan pusaka oleh JKPTG daripada RM2 juta kepada RM5 juta secara total yang merangkumi kedua-dua aset alih dan aset tak alih. Pelan pengukuhan ini akan diangkat kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam bagi semakan dan pandangan seterusnya.

  2. Kementerian telah diluluskan dengan 100 perjawatan secara contract of service (COS) oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada tahun 2021. Seramai 95 orang kakitangan lantikan secara kontrak telah diisi dalam usaha membantu menyelesaikan kes tunggakan harta pusaka mulai awal Januari 2023. Baki daripada jumlah tersebut akan diisi secara berperingkat mengikut keperluan. Pegawai-pegawai kontrak ini juga telah pun ditempatkan di Unit-Unit Pembahagian Pusaka di seluruh Semenanjung Malaysia bagi membantu menjalankan perbicaraan dan urusan pentadbiran pembahagian harta pusaka kecil.

  3. Selain itu, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) turut melaksanakan penempatan sementara Pegawai Petugas Khas dari Unit Petugas Khas JKPTG untuk membantu menjalankan perbicaraan tunggakan kes pembahagian harta pusaka kecil. Seramai 85 pegawai dari pelbagai gred telah diarahkan untuk membantu dalam menyelesaikan kes tunggakan urusan pusaka kecil sehingga kini.​

  4. Pelaksanaan inisiatif pengambilan pegawai-pegawai ini, sama ada secara lantikan kontrak mahupun penempatan sementara bagi Pegawai Petugas Khas JKPTG tersebut, secara langsung telah memberi impak yang sangat positif dalam mempercepatkan perbicaraan dan penyelesaian permohonan harta pusaka kecil yang diterima oleh JKPTG sebelum Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021 dikuatkuasakan. Sekian, terima kasih.


Attachments