Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 2 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 28 November 2023 | Tahun Persidangan | 2023 | Kategori | Mineral, Geosains | Nombor Soalan | 22 | Soalan | Tuan Afnan Hamimi bin Taib Azamudden [ Alor Setar ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan apakah dasar dan garis panduan terkini bagi penerokaan dan pemprosesan nadir bumi atau REE.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Terdapat beberapa dasar dan garis panduan bagi penerokaan dan pemprosesan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang sedang dan akan diperkenalkan oleh Kerajaan. Yang pertama, Kementerian telah membangunkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan NR-REE di Malaysia bagi mengawal selia aktiviti perlombongan mineral tersebut. Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral (JKPPIM) pada 2 Oktober 2023 yang lalu, Kerajaan Negeri dibenarkan melaksanakan eksplorasi awal NR-REE berdasarkan SOP NR-REE dan dasar-dasar mineral sedia ada.
Yang kedua, YAB Perdana Menteri semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal RMKe-12 di Dewan Rakyat pada 11 September 2023 telah mengumumkan bahawa Dasar Mineral Negara baharu akan dirangka bagi memacu pembangunan industri mineral yang menyeluruh berasaskan prinsip kemampanan dan kebertanggungjawaban. Kementerian pada masa ini sedang dalam peringkat akhir penyediaan kerangka dasar tersebut yang memberikan tumpuan kepada usaha memperkasa perundangan dan persekitaran industri, mengukuhkan keseluruhan rantaian nilai industri, meningkatkan pengaplikasian teknologi terkini, memperkasa modal insan tempatan dan memantapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam industri mineral.
Yang ketiga, selaras dengan pengumuman YAB Perdana Menteri, Kementerian pada masa ini sedang meneliti dan memperhalusi cadangan dasar larangan eksport bahan mentah NR-REE dengan mengambil kira keperluan untuk membangunkan industri huluan dan ketersediaan loji pemprosesan NR-REE di dalam negara. Dasar larangan ini adalah bertepatan dengan usaha Kerajaan untuk membangunkan industri NR-REE ini secara menyeluruh melalui pewujudan industri NR-REE di setiap peringkat rantaian nilai meliputi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.
Yang keempat, selaras dengan pengumuman YAB Perdana Menteri, Kementerian sedang memperhalusi dan memperincikan kebolehlaksanaan perlombongan di kawasan bagi aktiviti perlombongan di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS), dan Rizab Perlindungan. Kementerian juga akan mengambil kira pandangan daripada semua pemegang taruh serta Pihak Berkuasa Negeri (PBN), disamping kesannya terhadap kelestarian alam sekitar.
Seterusnya, yang kelima, Kementerian juga pada masa ini sedang dalam peringkat akhir bagi memuktamadkan Kajian Cadangan Model Perniagaan (Business Model) Bagi Pembangunan Industri NR-REE di Malaysia dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia. Kajian tersebut menjelaskan keseluruhan ekosistem industri serta mengemukakan cadangan bagi membangunkan keseluruhan rantaian nilai industri NR-REE di Malaysia.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|