Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

28 November 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Air

Nombor Soalan

23

Soalan

Dato' Verdon bin Bahanda [ Kudat ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan rancangan Kementerian untuk meminimumkan dan mengurus risiko kesan perubahan iklim seperti pemecah ombak, kawalan hakisan pantai dan banjir khusus untuk kawasan Kudat dan Pitas di Parlimen Kudat yang setiap tahun terkesan akibat perubahan iklim.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Projek Mengatasi Banjir di seluruh Pantai Negeri Sabah telah diluluskan di bawah RMKe-12 melibatkan  sebelas (11) lokasi projek  yang kini di peringkat penilaian dokumen tender. Projek ini termasuk tiga (3) lokasi projek yang  terletak di Daerah Pitas iaitu Pantai Malubang, Pantai Pinggan-Pinggan dan Pantai Kesagaan.

  2. Bagi kawasan Kudat pula, JPS sedang melaksanakan Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ISMP) Negeri Sabah (Tuaran-Kudat) dan dijangka siap Februari 2024 dengan kos berjumlah RM1.86 juta. Pelan ini disediakan sebagai bantuan Decision Support System (DSS) bagi perancangan zon persisiran pantai untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kerajaan Negeri, dan pihak berkepentingan lain bagi menggalakkan pembangunan terancang melalui strategi dan langkah pencegahan dan mengurangkan impak negatif kepada alam sekitar secara am dan kawasan persisiran pantai secara khusus. 

  3. Untuk makluman Yang Berhormat, JPS juga dalam proses melantik perunding untuk kajian Pelan Induk Tebatan Banjir Lembangan Sungai Di Daerah Kudat, Sabah dengan anggaran kos berjumlah RM1.7 juta bagi tempoh kajian selama 18 bulan. Di antara objektif kajian ini ialah bagi mengenalpasti penyelesaian jangka pendek, sederhana dan jangka panjang serta menyediakan pelan penyelesaian menyeluruh untuk menangani isu kejadian banjir dengan mengambil kira kecukupan sumber air di kawasan kajian. 

  4. Selain itu, kajian ini juga akan menghasilkan beberapa jenis peta seperti Flood Hazard Map, Flood Damage Map, Flood Risk Map dan Flood Evacuation Map. Kajian ini dapat membantu agensi membuat perancangan pembinaan  struktur tebatan banjir, membantu merangka rancangan struktur fizikal negara serta membantu membuat perancangan sebelum, semasa dan selepas berlakunya kejadian banjir.


Sekian, terima kasih.



Attachments