Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

28 November 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

29

Soalan

Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [ Bandar Tun Razak ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan kaedah bagaimana mencapai sifar pelepasan gas rumah hijau seawal 2050 untuk mengurangkan kesan negatif terhadap perubahan iklim seperti mana sasaran RMK-12.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, terdapat pelbagai kaedah yang digunakan bagi mengurangkan pelepasan GHG seperti yang telah digariskan dalam Bab 8 RMK-12 yang merangkumi tindakan-tindakan mitigasi melalui program-program penggunaan tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga melalui program National Energy Efficiency Action Plan, pengangkutan awam berasaskan rel/kereta api, penggunaan kenderaan cekap tenaga, penggunaan biodiesel berasaskan sawit dalam diesel petroleum campuran, penggunaan gas asli dalam kenderaan serta program di bawah sub-sektor gas dan minyak. Kementerian juga akan membangunkan Strategi Rendah Karbon Jangka Masa Panjang (Long Term Low Emission Development Strategies - LT-LEDS) yang akan memberi hala tuju dasar dan pelan tindakan sehingga kita mencapai aspirasi sifar bersih.


2. Selain usaha untuk meningkatkan bekalan bagi memenuhi permintaan, pendekatan pengurangan penggunaan tenaga turut dilaksanakan dengan memperkenalkan inisiatif kecekapan tenaga dan langkah-langkah penjimatan tenaga. Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Kecekapan dan Konservasi Tenaga bertujuan untuk mewujudkan satu kerangka perundangan kecekapan tenaga yang komprehensif bagi mengawal selia, menguatkuasa, menyelaras dan melaksanakan inisiatif kecekapan tenaga termasuk tenaga termal. RUU ini berkait rapat dengan inisiatif peralihan tenaga (energy transition) ke arah mencapai aspirasi pelepasan GHG bersih sifar (net-zero GHG emissions) menjelang tahun 2050 oleh sektor berkaitan tenaga. Melalui penguatkuasaan RUU ini ke atas sektor industri, komersial dan domestik (kediaman) sehingga tahun 2050, Kerajaan dijangka menjimatkan penggunaan tenaga yang dianggarkan berjumlah 2,017 juta Gigajoule (GJ) atau bersamaan RM97.1 bilion dan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 197,877 ktCO2. Negara juga dijangka dapat mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan baharu dan membolehkan Kerajaan membuat perancangan bagi pembangunan tenaga negara dengan lebih berkesan.


3.    Selain itu, bagi mengurangkan kesan negatif terhadap perubahan iklim, negara juga perlu membuat penyesuaian (adaptation) terhadap kesan perubahan iklim yang sedang dihadapi oleh negara. Sehubungan itu, Kerajaan telah memohon dana di bawah Green Climate Fund untuk membangunkan Pelan Tindakan Adaptasi Kebangsaan (National Adaptation Plan, NAP) yang akan melihat kesan perubahan iklim seperti banjir, kenaikan paras laut, hakisan pantai dan kemarau terhadap lima sektor utama iaitu: 


(i) jaminan air dan sumber pesisir;

(ii) pertanian dan jaminan makanan;

(iii) infrastruktur, tenaga dan persekitaran terbina termasuk      bandaraya;

(iv) perhutanan dan biodiversiti; dan

(v) kesihatan awam.



Sekian, terima kasih.​

Attachments