Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

28 November 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Mineral, Geosains

Nombor Soalan

30

Soalan

Tuan Fathul Huzir bin Ayob [ Gerik ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan status lombong Rare Earth Element (REE) atau unsur nadir bumi yang telah beroperasi di Daerah Gerik, Hulu Perak dan telah mengeluarkan hasil pertama pada Februari sebanyak RM1.66 juta yang berada di Mukim Kenering. Malangnya ia melibatkan beberapa isu iaitu :-


a) berapakah hasil pengeluaran sebenar REE tersebut dan bagaimanakah pembahagian keuntungan atau hasil antara syarikat pelombong, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan (Majlis Daerah); dan


b) sumber air yang mengalir memasuki perairan Sungai Perak dan tenaga pekerja yang digunakan tidak melibatkan secara menyeluruh warga Gerik.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


1.              Operasi perlombongan mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang dilaksanakan di atas tapak projek perintis di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak telah bermula sejak September 2022 dengan pengeluaran pertama produk lombong Rare Earth Carbonate (REC) pada bulan Oktober 2022. Berdasarkan rekod Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), pengeluaran produk lombong REC dari tapak projek perintis ini dari tempoh mula beroperasi sehingga bulan Ogos 2023 adalah sebanyak 5,139 tan metrik.

 

2.              Dari segi kutipan royalti dan juga pengagihannya, ianya adalah dibawah tanggungjawab Kerajaan Negeri Perak.

 

3.              Bagi isu berkaitan sumber air yang mengalir masuk ke Sungai Perak, aktiviti di tapak projek perintis tidak melibatkan sebarang pelepasan efluen keluar daripada kawasan tapak projek semasa aktiviti perlombongan dijalankan. Ini adalah di antara syarat-syarat ketat yang dikenakan dalam kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SPM) selain daripada syarat di dalam kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) selaras dengan keperluan yang dinyatakan di dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan NR-REE Di Negeri Perak.

 

4.              Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) menjalankan kerja pemantauan kualiti air permukaan dan air bawah tanah di kawasan tapak projek perintis secara berkala bagi tujuan memastikan pelaksanaan projek perintis tersebut mematuhi syarat-syarat kelulusan SPM serta kualiti air mematuhi had yang dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Efluen) 2016.

 

5.              Berdasarkan rekod JMG sehingga bulan Ogos 2023, tenaga kerja di tapak projek perintis perlombongan NR-REE adalah seramai 184 orang yang terdiri daripada profesional dan teknikal diantaranya seperti jurutera perlombongan, ahli geologi, jurutera pemprosesan mineral dan pegawai alam sekitar selain daripada tenaga buruh. Daripada jumlah ini, tenaga kerja tempatan yang digaji adalah sebanyak 35 peratus. Peratusan pekerja asing yang lebih besar kerana ia melibatkan kepakaran teknikal khusus dari luar negara. Pada masa yang sama, kementerian turut melihat kepada potensi pemindahan teknologi dan kepakaran ini kepada profesional dan tenaga kerja tempatan secara berperingkat.

 

Sekian, terima kasih.​

Attachments