Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

28 November 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Mineral, Geosains

Nombor Soalan

43

Soalan

Dato' Seri Haji Aminuddin bin Harun [ Port Dickson ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan mengenai apakah kesan alam sekitar dari perlombongan Rare Earth Elements (REE) dan adakah impak negatif dari industri ini.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian mengambil perhatian berkaitan kekhuatiran berlakunya kesan negatif ke atas alam sekitar daripada aktiviti perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE). Walau bagaimanapun, kaedah perlombongan secara in-situ leaching (ISL) secara relatifnya lebih baik berbanding kaedah perlombongan konvensional termasuklah secara kaedah lombong dedah.


  1. Kaedah ISL ini melibatkan aktiviti pembukaan tanah yang minimum bagi tujuan penyediaan tapak loji hidrometalurgi, laluan akses, saliran dan kolam pengumpulan NR-REE sahaja. Penggunaan kaedah ini tidak melibatkan penebangan dalam skala yang besar dan pengorekan keluar tanah beban dan tanah berbijih seperti mana kaedah perlombongan konvensional.


  1. Selain daripada kaedah perlombongan yang dinyatakan di dalam SOP sahaja yang dibenarkan, kawalan ketat juga dikenakan ke atas pelepasan efluen dibenarkan, pemantauan air permukaan dan air bawah tanah.


  1. Perlombongan NR-REE secara ISL dilaksanakan secara berfasa dan tidak melibatkan tempoh masa yang lama. Kawasan yang telah dikerjakan perlu dipulihkan semula oleh pengusaha lombong sepertimana yang telah disyaratkan. Ini dapat memastikan tiada impak kepada alam sekitar daripada aktiviti perlombongan ini dalam jangka masa panjang.


  1. Hasil penilaian yang dijalankan oleh Jawatankuasa Audit ke atas pelaksanaan projek perintis di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak mendapati perlombongan NR-REE ini tidak memberikan impak yang negatif kepada alam sekitar.


  1. Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) turut melaksanakan pemantauan ke atas kualiti air permukaan dan air bawah tanah secara berterusan bagi memastikan aktiviti perlombongan di tapak projek perintis tersebut tidak mengakibatkan pencemaran kepada kualiti air. Hasil aktiviti pemantauan terkini mendapati kualiti air di kawasan tapak projek perintis mematuhi had yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Efluen) 2016.


Sekian, terima kasih.​

Attachments