Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

28 November 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Air

Nombor Soalan

47

Soalan

Dr. Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi [ Kuala Kedah ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan usaha-usaha yang diambil bersama agensi Kerajaan Persekutuan yang lain bagi mengukuhkan kedudukan tebing-tebing sungai dan terusan di dalam Parlimen Kuala Kedah.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, isu penyelenggaraan dan pembaikan tebing sungai pada dasarnya di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab Pihak Berkuasa Negeri. Walaubagaimanapun, Kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga memberi perhatian terhadap usaha-usaha bagi penstabilan tebing sungai mengikut keutamaan serta sumber kewangan semasa melalui beberapa pendekatan struktur dan bukan struktur.

  2. Bagi pendekatan struktur, Kementerian telah menyalurkan peruntukan kepada JPS Negeri Kedah sebanyak RM11.75 juta pada tahun 2023 di bawah Projek Pemuliharaan Sungai Untuk Mengurangkan Risiko Banjir. JPS juga melaksanakan Program Pemuliharaan Sungai untuk mengurangkan risiko banjir Alor Tok Pasai di Kampung Tepi Laut, Mukim Kuala Kedah, Daerah Kota Setar, Kedah dengan kos berjumlah RM198 ribu.

  3. Selain itu, pendekatan bukan struktur melalui Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (Integrated River Basin Management-IRBM) juga dilaksanakan. Objektif utama dalam pendekatan IRBM memastikan air mencukupi, memastikan air bersih, mengurangkan risiko banjir dan meningkatkan pemuliharaan alam sekitar.

  4. Melalui pelan IRBM yang disediakan, cadangan perancangan dan pembangunan sumber air di dalam sesebuah lembangan boleh dijadikan rujukan oleh pihak Kerajaan Negeri dan semua pihak berkepentingan. Dalam merancang pembangunan, kesan terhadap kelestarian alam sekitar perlu diberikan perhatian terutamanya sumber air yang sangat diperlukan oleh negara untuk tujuan pembangunan dan keperluannya untuk kepelbagaian biologi. 

  5. Bagi Negeri Kedah, Kajian IRBM Sungai Merbok, Negeri Kedah telah siap pada tahun 2018. 

Sekian, terima kasih.​

Attachments