Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 2 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 28 November 2023 | Tahun Persidangan | 2023 | Kategori | Air | Nombor Soalan | 49 | Soalan | Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin [ Masjid Tanah ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan langkah-langkah yang telah diambil dalam menangani isu banjir terutamanya banjir kilat di ibu negara dan persiapan yang dilakukan untuk melindungi aktiviti- aktiviti perniagaan yang kebarangkaliannya boleh mencecah nilai ekonomi yang tinggi daripada turut terjejas semasa banjir.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, merujuk kepada Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), tanggungjawab untuk membina dan menyenggara parit adalah di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Selain itu, keputusan Jemaah Menteri tahun 1996 telah menggariskan pembahagian tanggungjawab di antara PBT dan JPS. Semua sistem saliran dalaman iaitu sistem saliran buatan adalah dibawah tanggungjawab PBT manakala sistem saliran asalnya semulajadi iaitu sungai dan anak sungai adalah di bawah JPS. Kementerian sentiasa memberi perhatian terhadap perkara yang bangkitkan. Pada dasarnya Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPS WPKL) dari semasa ke semasa melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan pembaikan struktur seperti tebing sungai, inlet, outlet, pintu air, pam dan kerja-kerja pengorekan kelodak di sungai utama dan kolam takungan banjir berdasarkan peruntukan yang diterima setiap tahun. Selain itu, JPS juga telah melaksanakan projek-projek tebatan banjir berimpak besar di Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Berikut adalah beberapa projek tebatan banjir yang telah siap dibina dan beroperasi di Kuala Lumpur antaranya; Pembinaan dan operasi Empangan Batu; Projek naik taraf dan operasi Empangan Klang Gate; Projek Terowong SMART (KLFM A); Sistem Lencongan Banjir Keroh (KLFM B); dan Sistem Lencongan Banjir Gombak (KLFM B)
Kesemua struktur kawalan banjir ini telah berjaya mengurangkan kejadian banjir di pusat Bandaraya Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun, masih terdapat keperluan bagi pelaksanaan projek tebatan banjir dengan penumpuan kepada aspek-aspek berikut: Lokasi-lokasi yang tiada perlindungan kawalan banjir; Menaiktaraf projek sedia ada memandangkan sistem dan peralatan yang telah uzur atau rosak; Mengambil kira kesan perubahan iklim dan cuaca; dan Pertambahan kawasan pembangunan dan kemajuan bandar yang berterusan.
Antara projek-projek yang sedang dilaksanakan oleh JPS adalah seperti berikut:
Projek Menaiktaraf Kolam Takungan Banjir Batu dan Jinjang Serta Lencongan Gombak dan Keroh (KLFM-B); Kajian Pelan Induk Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Klang; Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Bunus; Projek Menyiapkan Baki Kerja Projek Membina dan Menyiapkan Kolam Takungan Banjir Serta Kerja-Kerja Berkaitan di PULAPOL, Kuala Lumpur; Kerja-Kerja Pemasangan dan Integrasi Sistem SCADA Serta Kerja-Kerja Lain yang Berkaitan Untuk RTB Sungai Bunus, Kuala Lumpur; Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Kuyoh; Projek Rancangan Tebatan Banjir Upper Sungai Klang; dan Kerja-Kerja Mengorek Dan Membuang Kelodak Di Kolam Takungan Banjir Berembang Dan Kerja-Kerja Berkaitan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Manakala, bagi penyelesaian jangka masa panjang, Kajian Pelan Induk Lembangan Sungai Klang sedang disediakan dengan tujuan antaranya bagi melihat semula keupayaan Kuala Lumpur Flood Mitigation (KLFM) sediada sama ada berupaya memberi perlindungan banjir dan mengambil kira faktor-faktor seperti perubahan iklim, pembangunan terkini dan masa hadapan. Pelan induk ini dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2024. Bagi mengatasi isu banjir kilat yang sering berlaku, kerjasama daripada pihak PBT adalah diperlukan terutamanya untuk membersihkan longkang-longkang dan saluran air bagi membolehkan larian air adalah lancar ketika hujan. Masalah longkang tersebut dengan sampah sarap telah dikenal pasti sebagai punca utama banjir kilat berlaku.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|