Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

28 November 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Alam Sekitar, Air

Nombor Soalan

54

Soalan

Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [ Merbok ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan kaedah pihak Kementerian untuk mengawal pencemaran bau di SK Bukit Kiara yang dibina berhampiran kolam takungan air limbah dari kawasan perindustrian berhampiran. Hal ini amat merisaukan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) pernah menerima aduan pencemaran bau busuk dan menyebabkan gangguan kepada penduduk sekitar termasuklah SK Bukit Kiara yang terletak berhampiran dengan kolam takungan.

2.         Pemeriksaan yang dilakukan mendapati berlaku limpahan kumbahan dari tangki septik rumah-rumah penduduk di Taman Ria Jaya yang mengalir dalam longkang kawasan perumahan tersebut yang mana memasuki dan memenuhi kolam takungan yang diadu. Kumbahan di kawasan perumahan Taman Ria Jaya tidak disambung ke sistem kumbahan berpusat kerana masih menggunapakai sistem tangki septik. Limpahan kumbahan dalam longkang awam jelas berwarna hitam dan berbau busuk. Manakala itu, kolam takungan yang diadu juga dipenuhi buangan sisa pepejal yang memburukkan lagi keadaan.

3. Untuk makluman, setiap pemilik premis kediaman yang memiliki tangki septik individu diwajibkan untuk mengosongkan atau menyahenap cemar tangki septik bagi setiap 2 tahun sekali selaras dengan Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021 yang dikuatkuasa oleh Kementerian melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Ini adalah untuk memastikan setiap pengguna tidak mengabaikan penyelenggaraan tangki septik selain mengelakkan daripada berlakunya pencemaran seterusnya membawa kepada risiko penyakit seperti taun, hepatitis dan sebagainya. Kegagalan untuk berbuat demikian pengguna atau pemilik premis yang bertanggungjawab boleh dikenakan denda sehingga RM50 ribu di bawah Seksyen 65(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655].

4. Indah Water Konsortium (IWK) telah mula menghantar notis penjadualan nyahenap cemar ke Taman Ria Jaya bermula 1 September 2022 sehingga 28 Februari 2023. Untuk kitaran masa tersebut, 6,031 notis penjadualan telah dihantar, namun, hanya 351 atau 6% sahaja yang bersetuju menerima perkhidmatan nyahenap cemar tangki septik. Baki sebanyak 5,680 akaun tidak memberi maklum balas, menolak dan mengalami masalah akses. Sekiranya pemilik premis tidak mematuhi notis bertulis tersebut, pemilik premis boleh menjadualkan semula tarikh pelaksanaan perkhidmatan nyahenap cemar dan notis bertulis kedua akan dikeluarkan oleh pihak IWK. Namun jika pemilik premis masih gagal berbuat demikian setelah notis kedua dikeluarkan, pihak IWK hendaklah memaklumkan kepada SPAN untuk mengambil tindakan selanjutnya iaitu dengan mengeluarkan notis arahan secara bertulis kepada pemilik premis untuk menyebabkan tangki septik itu dinyahenap cemar dalam tempoh yang dinyatakan. Jika masih gagal tindakan penguatkuasaan akan diambil oleh SPAN dengan membuka kertas siasatan dan menyerahkan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan lanjut seperti yang termaktub di bawah Peraturan 5(2) Peraturan2 IPA (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021.

5. Bagi meningkatkan kadar penerimaan perkhidmatan nyahenap cemar dan mengatasi isu pencemaran bau ini, pihak IWK telah melaksanakan inisiatif seperti program kesedaran bersama penghulu-penghulu di seluruh negeri Kedah. IWK juga merancang untuk memberi taklimat berkenaan keperluan pengosongan tangki septik secara berkala kepada komuniti taman dan mengadakan Kempen Ops Sedut di kawasan yang terpilih.

6. Di samping itu, larangan pembuangan sisa pepejal ke dalam kolam takungan perlu ditangani oleh pelbagai pihak terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya bagi menambahbaik pengurusan sampah di daratan.

Sekian, terima kasih.​

Attachments