Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

30 November 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

13

Soalan

Tuan Tan Hong Pin [ Bakri ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan pendirian Kementerian dalam Perjanjian Plastik Global, komitmen untuk menangani krisis plastik dan usaha yang telah diambil untuk mengekang pencemaran alam sekitar daripada sisa buangan plastik menjelang 2040. Adakah Kementerian akan mengehadkan pengeluaran plastik.

Jawapan

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Bakri,


  1. Pada United Nation Environment Assembly (UNEA) 5.2 yang dianjurkan pada tahun 2022, salah satu resolusi yang diberi tumpuan oleh kebanyakan negara, termasuk Malaysia adalah resolusi mengenai pembentukan perjanjian antarabangsa berkaitan plastik. Penerimaan negara ahli terhadap resolusi ini telah memberi mandat kepada United Nations Environment Programme (UNEP) untuk memulakan proses rundingan ke arah pembentukan perjanjian bagi menangani isu pencemaran plastik di peringkat global. UNEP telah membentuk Jawatankuasa Perundingan antara Kerajaan (Intergovernmental Negotiating Committee - INC) sebagai jawatankuasa bertindak bagi merundingkan dan memuktamadkan perjanjian plastik global menjelang tahun 2024.


  1. Setakat ini, Malaysia telah menyertai tiga (3) siri rundingan untuk menyatakan pendirian negara dan merundingkan elemen-elemen perjanjian dalam menyokong kelestarian alam sekitar dan pada masa yang sama memastikan kepentingan Malaysia tetap terpelihara. 


  1. Pendirian negara berkaitan Perjanjian Plastik Global adalah merangkumi objektif dan skop perjanjian, elemen kawalan dan obligasi negara. Bagi Objektif Perjanjian, Malaysia telah menyatakan pendirian supaya Perjanjian Plastik Global akan memberi fokus untuk membasmi pencemaran plastik, dengan tujuan melindungi alam sekitar dan kesihatan manusia, melalui promosi ke arah ekonomi kitaran yang selamat untuk plastik serta melalui pengurusan sisa plastik yang mampan dan mesra alam sekitar.


  1. Selain itu, Kementerian juga telah mengambil beberapa langkah dan usaha bagi mengekang pencemaran alam sekitar daripada sisa buangan plastik melalui intervensi bersasar di sepanjang rantaian nilai plastik. Antaranya adalah seperti pembangunan produk plastik biodegradasi, pengenaan caj pencemaran plastik dan kempen tiada beg plastik percuma dan kerjasama strategik dengan pemegang taruh.


  1. Dalam isu menghadkan penggunaan atau pengeluaran plastik pula, Kementerian sentiasa berpendirian bahawa intervensi atau pendekatan secara bersasar adalah amat penting dalam mencapai keseimbangan bagi mengekang pencemaran plastik ini. Kementerian dengan kerjasama SIRIM telah membangunkan satu standard baru bagi memastikan plastik yang dihasilkan boleh terurai dengan selamat dalam persekitaran terbuka tanpa menghasilkan toksin dan mikroplastik. Selain itu, Kementerian juga telah memulakan usaha untuk mengeluarkan (phasing out) produk yang kurang diperlukan atau bermasalah untuk dialihkan daripada pasaran dan menggantikan dengan produk plastik alternatif yang tidak mencemar alam sekitar. 


Sekian, terima kasih.​

Attachments