Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

30 November 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

19

Soalan

Tuan Wong Chen [ Subang ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan anggaran penjimatan fiskal berikutan pengurangan perbelanjaan apabila Malaysia mencapai sasaran sebanyak 1.5 juta kenderaan elektrik pada tahun 2040.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Jemaah Menteri pada 29 Oktober 2021 telah meluluskan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 (LCMB) oleh NRECC, bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan gas rumah kaca (GHG) dalam sektor pengangkutan darat selaras dengan komitmen Kerajaan Malaysia untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG sebanyak 45% berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) menjelang 2030 berasaskan intensiti pelepasan pada tahun 2005 dan mencapai aspirasi pelepasan GHG sifar bersih seawal-awalnya pada tahun 2050. 


  1. Berdasarkan Bidang Fokus B (LCMB), pengurangan penggunaan tenaga dan pelepasan GHG melalui penggunaan mobiliti elektrik telah menetapkan sasaran sebanyak 15% kenderaan elektrik persendirian dan 15% motosikal elektrik berdasarkan Total Industry Volume (TIV). Di samping itu, dianggarkan potensi pengurangan penggunaan tenaga adalah sebanyak 2000.58 ktoe (kilotonne of oil equivalent) dan pengurangan pelepasan GHG sebanyak 2.83 juta tan CO2 pada tahun 2030 bagi sektor pengangkutan darat berdasarkan kepada strategi dan pelan tindakan yang telah digariskan bagi senario LCMB. 


  1. Seterusnya, sasaran yang dipersetujui di bawah National EV Steering Committee adalah mengguna pakai sasaran terkini yang ditetapkan oleh Kerajaan (Kementerian Ekonomi) di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap - NETR) iaitu sekurang-kurangnya 20% daripada jumlah jualan kenderaan baharu penumpang dan perdagangan pada 2030 adalah terdiri daripada electrified vehicles iaitu termasuk jenis hibrid, elektrik sepenuhnya dan hydrogen fuel cell , 50% pada tahun 2040 dan 80% pada tahun 2050.


  1. Berdasarkan analisa Institut Automotif, Robotik dan IoT (MARii), jumlah jualan tahunan kenderaan baharu penumpang dan perdagangan dijangka mencecah 1.24 juta unit pada 2040. Oleh itu, jika kita berjaya mencapai 50% xEV pada 2040, maka jumlah kenderaan baharu xEV yang dijual pada tahun tersebut dianggarkan adalah sekurang-kurangnya sebanyak 620,000 unit.


  1. Untuk makluman Yang Berhormat, Malaysia mempunyai kadar pemilikan kereta yang tertinggi berbanding negara-negara jirannya. Sehubungan itu, terdapat keperluan kritikal untuk mengurangkan kereta berasaskan petrol dan diesel melalui peralihan pengguna kepada pengangkutan awam terutamanya di Kuala Lumpur dan kawasan bandar-bandar lain. Malaysia perlu beralih daripada budaya berkereta (car-centric) kepada penggunaan pengangkutan awam yang lebih mampan termasuk mobiliti aktif dan mikro. 


  1. Selain itu, Kementerian turut mencadangkan agar pelan tindakan untuk mempergiatkan penggunaan tanah yang mampan ke arah perancangan mengehadkan penggunaan kereta (car-lite planning) oleh pihak berkuasa tempatan bagi perancangan bandar pada masa akan datang boleh dipertimbangkan.


  1. Di samping itu, selain daripada kenderaan persendirian, Kerajaan turut memberi perhatian kepada usaha pelepasan GHG dan penjimatan tenaga dari segmen kenderaan komersial atau kenderaan berat (heavy-duty vehicle) iaitu bas, lori dan trak. Beberapa inisiatif sedang diterokai bagi peralihan kepada tenaga alternatif seperti penggunaan hidrogen dan biodiesel bagi pengangkutan awam seperti bas yang telah dilaksanakan secara rintis di Kuching dan Kuala Lumpur. 


  1. Berhubung pertanyaan Yang Berhormat berkenaan anggaran penjimatan fiskal yang boleh dicapai berikutan pencapaian sasaran sebanyak 1.5 juta kenderaan elektrik pada tahun 2040, Kerajaan perlu masa untuk menjalankan kajian terperinci kerana ia melibatkan pelbagai sektor dan industri yang terlibat.


Sekian, terima kasih.​

Attachments