Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 2 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 30 November 2023 | Tahun Persidangan | 2023 | Kategori | Mineral, Geosains | Nombor Soalan | 38 | Soalan | Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [ Mersing ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan sekiranya larangan eksport nadir bumi (REE) diperkenalkan oleh kerajaan, apakah pelan jangka pendek dan jangka panjang Kerajaan untuk memanfaatkan sumber REE di negara kita dan bagaimana kerajaan dapat memastikan keuntungan diagih secara adil di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri hasil daripada jualan atau pemprosesan REE ini.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Dasar larangan eksport bahan mentah NR-REE seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri bertujuan untuk mengelakkan eksploitasi dan kehilangan sumber, sekali gus menjamin pulangan yang maksimum kepada ekonomi negara. Dasar ini adalah bertepatan dengan usaha Kerajaan untuk membangunkan industri NR-REE ini secara menyeluruh melalui pewujudan industri NR-REE di setiap peringkat rantaian nilai meliputi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.
Untuk makluman, Kementerian sedang dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan Kajian Model Perniagaan (Business Model) Bagi Pembangunan Industri NR-REE di Malaysia dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia. Kajian tersebut antara lain mencadangkan pembangunan loji pemprosesan nadir bumi (Rare Earth Processing Plant - REPP) bagi mengelakkan sumber NR-REE dieksport secara mentah ke luar negara dan menggalakkan ia diproses di dalam negara bagi memberikan nilai tambah yang tinggi.
Sehingga REPP ini dibangunkan, Kementerian tidak mensasarkan dasar larangan eksport ini dikuatkuasakan, dan moratorium terhadap larangan eksport bahan mentah perlu dilaksanakan. Sebagai pelan jangka pendek, Kementerian akan mengadakan rundingan dengan pelbagai pihak bagi mempercepatkan pembangunan REPP tersebut.
Bagi perancangan jangka panjang pula, seperti mana yang telah dirangka di dalam Dasar Mineral Negara 3, dan turut dicadangkan dalam kajian model perniagaan, Kerajaan berhasrat membangunkan industri NR-REE merangkumi keseluruhan rantaian nilai. Kajian tersebut menetapkan sasaran supaya Negara menjadi pengeluar super magnet dan motor elektrik bagi menyokong perkembangan industri automotif tempatan dan global yang sedang beralih kepada penghasilan kenderaan elektrik pada masa akan datang.
Kementerian menyedari bahawa NR-REE adalah hasil kerajaan negeri sebagaimana hasil mineral yang lain. Kerajaan Negeri memperolehi hasil daripada kutipan royalti yang dikenakan ke atas mineral tersebut. Manakala, pendapatan kepada Kerajaan Persekutuan akan lebih signifikan melalui cukai keuntungan korporat sekiranya industri pertengahan dan hiliran dibangunkan secara menyeluruh kelak.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|