Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

176

Soalan

Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan [ Kota Bharu ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan tahap perkembangan Projek Hidroelektrik Nenggiri Kelantan dan jangkaan bilakah ia dapat siap untuk beroperasi sepenuhnya.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,

Kerja-kerja pembinaan Projek Loji Janakuasa Hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan berkapasiti 300 Megawatt (MW) telah dimulakan pada 1 Mac 2022 dan dijangka akan siap dan mula beroperasi mulai 1 Jun 2027. Kemajuan keseluruhan projek ini sehingga bulan Ogos 2023 adalah 31%.

Pada masa ini, kerja-kerja tanah sedang dijalankan untuk membina Rumah Janakuasa (Powerhouse), Empangan Pelana (Saddle Dam), Empangan Pengatur-Aliran (Re-Regulating Dam) dan Pencawang Masuk Utama (Switchyard). Selain itu, pemasangan menara talian penghantaran 275kV juga sedang dijalankan. 

Kerja-kerja tanah untuk pembinaan Empangan Utama (Main Dam) akan mula dilaksanakan setelah pembinaan terowong lencongan (diversion tunnel) siap dibina pada tahun 2024. Melalui terowong ini, Sungai Nenggiri akan dilencongkan bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan Empangan Utama dilaksanakan.

Selain itu, bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan Empangan Pengatur-Aliran (Re-Regulating Dam) dimulakan pada bulan September 2023, Sungai Nenggiri telah dilencongkan melalui terusan yang telah siap dibina. 

Bagi memastikan keselamatan penduduk di sekitar kawasan projek, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memberi penerangan kepada penduduk terbabit terutamanya Nelayan Darat dan pihak Jabatan Perikanan mengenai kesan-kesan pembinaan Empangan Pengatur-Aliran ini.

Selain itu bagi mengurangkan risiko ke atas aktiviti harian penduduk, pihak Nelayan Darat telah dimaklumkan supaya tidak menggunakan sungai di sekitar kawasan pembinaan projek buat masa ini. Dalam masa yang sama, pihak TNB telah membina jeti sementara di hulu Sungai Nenggiri berdekatan dengan Pos Pulat bagi membolehkan Nelayan Darat menyimpan bot-bot mereka.

 Tuan Yang di-Pertua,

Kerja-kerja pembinaan untuk penempatan semula Orang Asli dari Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kg. Kuala Wias yang melibatkan seramai 1,115 orang penduduk (257 Ketua Isi Rumah - KIR) sedang giat dilaksanakan. Mereka dijangka akan dipindahkan ke penempatan baharu pada penghujung 2025 sebelum perkampungan lama mereka diambil alih untuk pengisian air Tasik Takungan Utama yang berkeluasan 53.84 kilometer persegi.

Penempatan baharu ini akan meningkatkan kualiti hidup mereka dalam tempoh jangka masa panjang. Selain daripada penempatan yang lebih selesa dengan kemudahan infrastruktur awam, mereka juga akan mempunyai sumber pendapatan yang lebih terjamin melalui hasil kebun getah seluas 5.5 ekar yang akan disediakan oleh TNB bagi setiap KIR yang terlibat.

Tuan Yang di-Pertua,

Selain itu, bagi memastikan bahan-bahan artifak penting dapat dipelihara, pihak TNB dan Juruperunding UKM Pakarunding Sdn. Bhd. sedang melaksanakan kerja-kerja ekskavasi arkeologi di kawasan yang bakal terbentuknya Tasik Takungan Utama. Sehingga kini, antara hasil penemuan ekskavasi termasuklah bahan-bahan prasejarah seperti tembikar, peralatan batu dan juga rangka manusia prasejarah (seorang wanita).

Bahan-bahan prasejarah berbentuk tembikar dan peralatan batu telah ditempatkan secara sementara di sebuah tempat simpanan (depository) di Gua Musang sebelum ditempatkan di sebuah mini galeri yang akan dibina oleh TNB di Gua Musang. Manakala, rangka manusia prasejarah yang dianggarkan berusia 14,000 tahun telah dihantar ke Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk dianalisa dan seterusnya disimpan di Jabatan Warisan Negara.

 Sekian, terima kasih.

Attachments