Pertanyaan | Bukan Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 2 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | | Tahun Persidangan | 2023 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 182 | Soalan | Tuan Onn bin Abu Bakar [ Batu Pahat ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan dari kajian "the plastic problem in Malaysia management, recycling and disposal of local and global plastic waste", menjelaskan pengurusan pelupusan sampah plastik adalah masalah utama di dunia dan di Malaysia. Apakah inovasi baru Malaysia untuk melaksanakan langkah melupuskan sampah plastik agar mesra alam sekitar. | Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) memandang serius berkaitan pengurusan sisa plastik yang boleh mencemarkan alam sekitar jika tidak diuruskan dengan baik. Situasi ini boleh diatasi melalui pelaksanaan model ekonomi kitaran, di mana selain memastikan sisa plastik dikitar semula, proses pengeluaran, penggunaan, pelupusan dan pengurusan sisa sesuatu bahan juga ditambah baik melalui kaedah rekabentuk semula, guna semula serta menerima pakai model perniagaan yang lebih lestari.
Sebagai langkah jangka panjang dan dalam memperkukuhkan kelestarian ekosistem plastik di Malaysia, Kerajaan telah melancarkan strategi dan pelan tindakan di bawah Malaysia Plastics Sustainability Roadmap 2021-2030 (MPSR). Melalui MPSR, langkah pertama dalam pelaksanaan Roadmap ini adalah pengenalpastian produk plastik dan plastik sekali guna yang bermasalah atau penghasilan produk yang kurang signifikan berbanding impak negatif yang diakibatkan oleh produk tersebut.
Gerak kerja ini telah bermula pada 2021, disusuli dengan usaha untuk mengeluarkan (phasing out) produk yang telah dikenal pasti ini secara berperingkat bermula tahun 2023, sama ada melalui penggantian bahan produk dengan bahan lain atau mereka bentuk semula produk tersebut secara lestari (sustainable design). Produk plastik yang kurang diperlukan atau bermasalah dikenalpasti dan dialihkan daripada pasaran sama ada melalui reka bentuk, inovasi atau pengenalan alternatif sedia ada dalam pasaran.
Sebelum itu, Kementerian juga telah mengambil langkah awal dalam memperkenalkan Caj Pencemaran Plastik dan Kempen Tanpa Beg Plastik sebagai usaha Kerajaan selaras dengan “Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030”. Caj pencemaran plastik ini telah diperkenalkan bagi mengurangkan penggunaan beg plastik sekali guna di kalangan masyarakat. Pada Oktober 2020, Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) Ke-76 telah bersetuju dengan cadangan pelaksanaan “Kempen Tiada Beg Plastik” oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara, di mana premis perniagaan mengenakan caj ke atas setiap beg plastik yang dibekalkan kepada pengguna. Ia adalah satu bentuk pencegahan dan usaha membendung penggunaan beg plastik yang kerap dibuang secara tidak terkawal.
Dalam masa yang sama, mengambil kira perkembangan semasa melibatkan pembangunan piawaian dan teknologi di peringkat global, NRECC telah bekerjasama dengan SIRIM Berhad untuk membangunkan satu kriteria pelabelan eko (eco-labelling) yang baru bagi produk plastik biodegradasi. Ia melibatkan pengenalan teknologi bio-transformasi (inovasi aditif dan pengujian berdasarkan piawaian antarabangsa BSI PAS 9017) bagi plastik yang berkeupayaan untuk terurai dengan selamat dalam persekitaran terbuka tanpa menghasilkan mikroplastik atau toksin. Label eko ini penting bagi pensijilan produk plastik yang mampu terurai sepenuhnya dan memenuhi kriteria mesra alam, selari dengan keperluan industri dan polisi nasional bagi fasa peralihan, yang dapat menyumbang kepada pelupusan sisa plastik yang efektif, mesra alam sekitar dan berfungsi sebagai alternatif kepada plastik konvensional sedia ada.
Secara keseluruhan, pengurusan sisa plastik harus dipertingkatkan secara menyeluruh, bukan sahaja dari aspek rekabentuk dan langkah pencegahan, namun dari segi pengurusan sisa plastik sedia ada. NRECC akan bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) selaku peneraju utama kepada pengurusan sisa pepejal negara dan dibantu oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dari segi inovasi untuk menambah baik pengurusan pelupusan sisa plastik di Malaysia.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|