Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Air

Nombor Soalan

207

Soalan

Dato' Sri Dr. Wee Jeck Seng [ Tanjung Piai ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan status terkini cadangan menaik taraf sistem kumbahan dan sanitari perkampungan atas air Kukup Laut dan Ayer Masin yang melibatkan lebih 400 kediaman setelah laporan kajian ketersediaan serta impak sosial oleh Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP) telah siap tersedia sejak April 2022.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Untuk makluman, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) telah melaksanakan kajian Penilaian Impak Sosial (SIA) bagi menilai tahap ketersediaan penerimaan dan impak sosial kepada  penduduk setempat dengan adanya cadangan pelaksanaan projek sistem pembetungan di Perkampungan Kukup Laut dan Ayer Masin, Tanjung Piai, Pontian, Johor. Kajian ini telah bermula pada Disember 2021 dan siap pada April 2022 yang lalu.


Seterusnya, bagi meneruskan hasrat untuk pelaksanaan projek ini secara fizikal, kajian kebolehlaksanaan (dengan izin) feasibility study yang komprehensif perlu dilaksanakan terlebih dahulu dengan mengambilkira faktor-faktor berikut: 


  1. Keadaan kawasan perkampungan rumah atas air yang sempit, akses yang terhad dan kedudukan tiang rumah yang rapat memerlukan penilaian kepada kaedah pembinaan yang bersesuaian.


  1. Hasil kajian dalam SIA juga mendapati majoriti penduduk tidak bersetuju sekiranya mereka perlu berpindah semasa kerja-kerja pembinaan dilaksanakan. Perkara ini merujuk kepada rekabentuk konsep di mana kemungkinan terdapat keperluan untuk pengambilalihan premis bagi membolehkan pembinaan stesen pam dilaksanakan. Namun, perkara ini hanya boleh dimuktamadkan selepas proses reka bentuk terperinci dijalankan.


  1. Terdapat keperluan perobohan struktur atau bangunan sedia ada yang akan dilaksanakan sekiranya projek ini diimplementasikan kelak.


  1. Isu pengambilan tanah yang perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh pihak Kerajaan melalui JPP.


  1. Paras air pasang yang tinggi sehingga mencapai platform konkrit juga perlu diambilkira apabila merekabentuk rangkaian paip pembetungan.


Atas faktor-faktor ini, maka pihak Kerajaan perlu meneliti semula pelaksanaan projek ini secara fizikal dengan lebih terperinci.


Sekian, terima kasih. ​

Attachments