Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Air

Nombor Soalan

228

Soalan

Dato' Rosol bin Wahid [ Hulu Terengganu ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah kualiti dan tekanan air rendah di Hulu Terengganu.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

1.             Pihak operator air Negeri Terengganu iaitu Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) sentiasa melaksanakan pemantauan terhadap perkhidmatan bekalan air di Terengganu bagi memastikan bekalan air mencapai piawaian kualiti bekalan air yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). SATU telah mengenal pasti bahawa tiada isu mengenai kualiti air terawat manakala isu tekanan air rendah berlaku di Hulu Terengganu melibatkan Mukim Ajil merangkumi beberapa buah kampung seperti Tanah Lot Bukit Apit, Tanah Lot Batu 18, Kg. Jaba, Kg. Panggung dan Kg. Teluk Kemudi.

​2.             Masalah tekanan air rendah di kawasan Mukim Ajil adalah berpunca daripada bekalan air yang tidak mencukupi di kawasan tersebut disebabkan kedudukan yang tinggi dan berada di penghujung sistem agihan. Tekanan air menjadi semakin rendah terutamanya semasa penggunaan di waktu puncak iaitu antara jam 6.00 petang hingga 8.00 malam. Selain itu, kadar air tidak terhasil (Non-Revenue Water – NRW) di Hulu Terengganu juga adalah tinggi iaitu sebanyak 45.8%.

3.      Bagi mengatasi masalah ini, SATU akan melaksanakan beberapa langkah penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang seperti berikut:

a)   Penyelesaian Jangka Pendek

i.     Membaikpulih empat (4) unit pam di LRA Hulu Terengganu bagi meningkatkan semula prestasi pam sedia ada dan dijangka siap pada Disember 2023 dengan kos berjumlah RM686,200.00; dan

ii. Pemasangan paip air daripada LRA Kepong, Kuala Terengganu ke Tangki Malaysia Industrial Estate Berhad (MIEL) dan Tangki Gondang, Marang di bawah Projek Kuala Terengganu Utara (KTU) yang dijadualkan siap pada Disember 2023. Ia dijangka dapat mengagihkan bekalan air tambahan sebanyak 2 hingga 4 JLH ke Mukim Ajil, Hulu Terengganu.

b)   Penyelesaian Jangka Sederhana

i.    Cadangan Menaiktaraf LRA Hulu Terengganu daripada 55 JLH kepada 65 JLH dengan anggaran kos RM10 juta melalui peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Kertas kerja telah dikemukakan kepada KKDW pada 18 Januari 2023 dan sedang menunggu kelulusan peruntukan; dan

ii.    Kerja-kerja penggantian meter District Meter Zoning (DMZ) di 20 zon bagi mengenalpasti tahap dan lokasi kebocoran paip di daerah Hulu Terengganu. Kos projek berjumlah RM1.5 juta dan dijangka siap pada 1 Oktober 2024 di bawah peruntukan Kerajaan Negeri.

iii. Bagi mengurangkan NRW, beberapa projek penukaran paip-paip lama telah dirancang untuk dilaksanakan di bawah peruntukan kerajaan negeri secara berperingkat tertakluk kepada bajet tahunan.

c) Penyelesaian jangka panjang

 i.       Projek Membina dan Menyiapkan LRA Kenyir berkapasiti 20 JLH di daerah Hulu Terengganu yang dijangka siap pada pertengahan tahun 2026 dengan peruntukan berjumlah RM30 juta secara pinjaman persekutuan. Status semasa projek ialah dalam peringkat akhir rekabentuk. Dengan penyiapan LRA Kenyir ini, zon pengagihan bekalan air di Hulu Terengganu akan distruktur semula dan masalah tekanan air rendah yang dihadapi oleh para pengguna dijangka dapat ditangani sepenuhnya.

Sekian, terima kasih.

Attachments