Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

318

Soalan

Datuk Ali anak Biju [ Saratok ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan status penyerahan kawal selia bekalan elektrik Sabah daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sabah. Berapakah jumlah tanggungan kewangan yang perlu dibayar oleh Sabah untuk mengambil penuh kuasa kawal selia tersebut.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Bil. 1/2023 mengenai Penyerahan Kuasa Pembekalan Elektrik Negeri Sabah dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) kepada Kerajaan Negeri Sabah (KNS) telah diadakan pada 12 Jun 2023. Mesyuarat ini telah dipengerusikan secara bersama oleh saya dan YAB Ketua Menteri Sabah serta dihadiri oleh kementerian dan agensi pusat daripada Kerajaan Persekutuan serta agensi-agensi daripada KNS. 

  2. Mesyuarat mengambil maklum dan telah bersetuju bahawa penyerahan kuasa pembekalan elektrik Sabah dan SESB diadakan secara berfasa seperti berikut:

  1. Fasa 1 – Penyerahan kuasa kawal selia pembekalan elektrik Sabah pada 3 Januari 2024; dan

  2. Fasa 2 – penyerahan SESB berdasarkan pelan transformasi SESB yang dijangka mengambil masa selama 7 tahun dan selesai pada tahun 2030 (pasca penyerahan).


  1. Selain itu, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bil.1/2023 turut diadakan pada 21 Julai 2023 berhubung Penyerahan Kuasa Pembekalan Elektrik Negeri Sabah dan SESB yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Sumber Asli dan Perubahan Iklim (NRECC) dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah yang membincangkan mengenai perkara-perkara teknikal seperti kuantum atau jumlah subsidi yang akan diberikan kepada SESB dan isu-isu pentadbiran kontrak bagi projek-projek sedia ada. 


  1. Selanjutnya, hasil Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Bil. 1/2023 dan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bil.1/2023 ini akan dijadikan sebagai input dalam Memorandum Jemaah Menteri yang memuktamadkan proses penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik kepada KNS. Memorandum Jemaah Menteri ini akan diangkat untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri dalam masa terdekat. 


Sekian, terima kasih.​

Attachments