Pertanyaan | Bukan Lisan | Dewan | Dewan Rakyat | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 2 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | | Tahun Persidangan | 2023 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 325 | Soalan | Datuk Suhaimi bin Nasir [ Libaran ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan sejauh manakah keberkesanan pelaksanaan kempen Tanpa Beg Plastik yang bertujuan untuk memelihara alam sekitar serta adakah matlamat untuk mengurangkan penggunaan beg plastik telah dapat dicapai.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman, Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-76 pada 18 November 2020 telah bersetuju secara dasar dengan cadangan pelaksanaan Kempen Tiada Beg Plastik oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara. Melalui kempen ini, premis perniagaan akan mengenakan caj pencemaran ke atas setiap beg plastik yang dibekalkan kepada pengguna di kaunter pembayaran. Pengenaan caj ini berpandukan kepada prinsip 'user-pay-principle' sebagai satu bentuk pencegahan dan usaha menghindari penggunaan beg plastik sekali guna yang kerap dibuang secara tidak terkawal.
Seperti mana diputuskan oleh MNKT, pelaksanaan kempen ini adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri dan kaedah pelaksanaan adalah mengikut kesesuaian negeri masing-masing sama ada dari segi kadar caj yang dikenakan, kekerapan serahan kutipan, agihan di antara PBT dan kerajaan negeri serta penggunaan wang kutipan tersebut. Pelan Hala Tuju Malaysia ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna, 2018 – 2030 telah menggariskan bagi fasa pertama iaitu sehingga 2021, kempen ini dilaksanakan di semua premis tetap dan seterusnya akan diperluaskan kepada semua premis perniagaan secara beransur-ansur dalam tempoh 2022 hingga 2025.
Kempen ini juga merupakan salah satu pelan jangka panjang kerajaan dalam menangani isu pencemaran sisa plastik sekali guna di Malaysia. Sehingga 5 Julai 2023, sebanyak 11 negeri telah melaksanakan Kempen Tiada Beg Plastik Percuma secara menyeluruh. Namun begitu, peringkat pelaksanaan kempen masih berada dalam pelbagai fasa. Sebagai contoh, ada negeri yang masih di peringkat promosi kempen tiada beg plastik percuma, ada yang telah melaksanakan pengenaan caj RM0.20. Sebanyak 7 negeri telah melaksanakan pengenaan caj RM0.20 iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan (beg plastik biodegradasi), Perak, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Johor.
Berdasarkan kepada data yang diterima dari negeri Pulau Pinang, sebanyak 2.8 juta beg plastik dapat dikurangkan pada tahun 2021 berbanding tahun 2019. Pengurangan yang signifikan mewakili 57% daripada jumlah penggunaan beg plastik ini menjadi tanda aras penting dalam usaha mengurangkan pencemaran plastik dan kejayaan ini turut disumbang oleh inisiatif Pulau Pinang yang meningkatkan caj kepada RM1 bagi setiap beg plastik pada tahun 2021. Sementara itu, negeri Selangor juga membuktikan bahawa walaupun dengan hanya mengenakan caj minimum iaitu 20 sen, pengurangan sebanyak 2 juta beg plastik iaitu 9% direkodkan berbanding dengan pelaksanaan inisiatif secara sukarela pada tahun 2017.
Walau bagaimanapun, pengenaan caj pencemaran plastik masih belum dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh Malaysia dan pihak kementerian memohon sokongan daripada semua Kerajaan Negeri dan PBT dalam membantu misi kerajaan untuk melarang penggunaan beg plastik sekali guna di semua premis perniagaan menjelang tahun 2025. Kerajaan mengambil pendekatan secara berfasa dalam memperkenalkan setiap pelan tindakan di bawah pelan ini supaya ia lebih berkesan dan rakyat memahami rasional bagi setiap pelan tindakan tersebut, sekaligus mendorong mereka untuk bertindak atau membuat pilihan yang positif dan mesra alam.
Sambutan dan kerjasama daripada pihak PBT dan peniaga berhubung kempen ini adalah amat baik. Namun, terdapat juga cabaran di beberapa buah PBT dalam melaksanakan kempen ini terutamanya kerjasama dari para peniaga dan ketersediaan rakyat dalam menggunakan produk alternatif selain plastik sekali guna. Banyak aspek yang perlu diberi perhatian apabila kerajaan ingin melaksanakan sesuatu dasar atau larangan terutamanya yang melibatkan orang awam.
Tuan Yang di-Pertua,
Bagi menambahbaik pelaksanaan kempen ini, sesi advokasi kepada negeri-negeri dan pihak PBT akan terus dipergiatkan dalam usaha memberi kesedaran kepada orang awam serta menggalakkan penglibatan yang menyeluruh daripada para peniaga mengenai pelaksanaan kempen ini. Selain itu, program Communication, Education and Public Awareness (CEPA) akan turut dipertingkatkan supaya semua pihak dapat memahami rasional pengenaan caj pencemaran ke atas permintaan beg plastik di kaunter-kaunter premis tetap.
Kerjasama dan penglibatan bersama pemegang taruh yang lain seperti pihak industri akan turut dipertingkatkan dalam usaha menjayakan kempen ini. Kunci sebenar kepada kejayaan inisiatif ini adalah perubahan tingkah laku di kalangan orang awam dan juga para peniaga.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|