Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

391

Soalan

Tuan Jamaludin bin Yahya [ Pasir Salak ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan apakah langkah-langkah Kementerian secara holistik dalam menangani impak kenaikan tarif elektrik kepada pengguna agar ianya tidak menjadi bebanan yang ketara kepada rakyat.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Untuk Makluman Ahli Yang Berhormat,


  1. Tarif elektrik disemak setiap enam bulan sekali melalui mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) dengan mengambil kira kos sebenar bahan api dan penjanaan lain bagi tempoh enam bulan ke belakang. Berdasarkan mekanisme ICPT ini, semua pengguna perlu membayar bil elektrik masing-masing setelah semakan dibuat dan diselaraskan melalui pemberian rebat atau surcaj. Ini bermakna, secara prinsipnya semua pengguna sepatutnya membayar tarif elektrik mengikut penggunaan mereka berdasarkan harga bahan api di pasaran.


  1. Sejak pelaksanaan ICPT pada tahun 2014 sehingga Jun 2023, semua pengguna domestik di Semenanjung tidak pernah dikenakan surcaj ICPT. Bermula pada Januari sehingga Jun 2021, semua pengguna domestik telah menikmati rebat 2 sen/kWj berdasarkan semakan ICPT bagi tempoh enam bulan sebelumnya. Walau bagaimanapun, Kerajaan telah memutuskan supaya rebat 2 sen/kWj tersebut kekal dinikmati oleh semua pengguna domestik sehingga 30 Jun 2023 walaupun kos ICPT telah meningkat dengan mendadak disebabkan oleh peningkatan harga bahan api terutamanya arang batu di pasaran dunia. Pemberian rebat tersebut berbanding kadar surcaj sebenar yang sepatutnya dilepaskan kepada pengguna dilaksana melalui pemberian subsidi menggunakan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) dan Kementerian Kewangan. 


  1. Selaras dengan dasar Kerajaan untuk melaksanakan subsidi elektrik secara bersasar, Kerajaan telah bersetuju untuk melepaskan surcaj ICPT pada kadar 10 sen/kWj kepada pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan yang tinggi iaitu melebihi 1,500 kWj mulai 1 Julai 2023 sehingga 31 Disember 2023. Kerajaan percaya bahawa keputusan untuk mengenakan surcaj sebanyak 10 sen/kWj kepada pengguna elektrik ini adalah tepat memandangkan rata-rata pengguna elektrik yang menggunakan elektrik melebihi 1,500 kWj setiap bulan atau bil elektrik bulanan minimum RM708 adalah golongan berpendapatan tinggi yang mempunyai banyak peralatan dan kemudahan yang menggunakan elektrik di kediaman masing-masing. Dianggarkan seramai 83,000 pengguna iaitu 1% pengguna domestik akan mengalami kenaikan bil elektrik bulanan minimum sebanyak RM 187 (25%). Sungguhpun begitu, Kerajaan melalui Kementerian Kewangan masih menanggung subsidi berjumlah RM58 juta kepada kumpulan pengguna ini disebabkan surcaj sebenar tidak dilepaskan sepenuhnya.


  1. Secara keseluruhannya, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM10.6 bilion bagi pemberian subsidi elektrik kepada pengguna domestik sejak Januari 2022 sehingga Disember 2023. Keputusan pemberian subsidi elektrik oleh Kerajaan ini bertujuan supaya peningkatan harga bahan api di pasaran dunia bagi penjanaan elektrik tidak dilepaskan kepada rakyat secara keseluruhannya bagi mengelakkan impak kenaikan kos sara hidup secara mendadak.  

  2. Selain itu, pengguna-pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif B dan D) serta tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) tidak mengalami sebarang kenaikan bil elektrik di mana surcaj ICPT pada kadar 3.70 sen/kWj telah dikekalkan sejak 1 Februari 2022 lagi. Kadar ini tidak pernah berubah sejak tahun 2022 sehingga kini walaupun kos ICPT telah meningkat dengan mendadak.


  1. Dalam erti kata yang lain, pengguna-pengguna Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk restoran, kedai runcit, bakeri, bengkel-bengkel kecil serta petani, penternak, pekebun dan lain-lain perniagaan seumpamanya adalah dibantu oleh Kerajaan dengan tidak mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik. Pengekalan surcaj pada kadar minimum 3.70 sen/kWj sejak tahun 2022 ini melibatkan peruntukan subsidi Kerajaan sebanyak RM6.8 bilion.


  1. Kementerian juga terus komited untuk meneruskan Program Rebat Bil Elektrik RM40 pada tahun 2024. Program ini akan menyalurkan bantuan secara bersasar sehingga maksimum RM40 untuk membiayai bil elektrik bulanan Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin tegar yang berdaftar dan disahkan melalui Sistem eKasih bagi meringankan beban kewangan dan kos sara hidup rakyat. Pada tahun 2022 seramai 120,135 KIR telah menerima manfaat melalui program ini manakala sehingga 31 Julai 2023, seramai 63, 917 KIR juga telah menerima manfaat yang sama.



  1. Namun begitu, Kementerian sentiasa menyarankan pengguna-pengguna elektrik sama ada pengguna domestik mahupun bukan domestik untuk sentiasa mempraktikkan amalan cekap tenaga. Antaranya, meneroka potensi solar melalui pemasangan sistem solar bagi kegunaan sendiri (self-consumption – SelCo) atau menyertai Program Net Energy Metering 3.0 (NEM 3.0). Kementerian juga menyarankan pengguna elektrik untuk mengamalkan penggunaan elektrik secara cekap dengan menggunakan peralatan cekap tenaga yang mendapat penarafan 4 atau 5 bintang oleh pihak Suruhanjaya Tenaga. Inisiatif-inisiatif ini dapat membantu pengguna elektrik untuk mengurangkan bil elektrik mereka pada masa akan datang.


  1. Untuk makluman Yang Berhormat, harga bahan api masih lagi tinggi berbanding unjuran harga bahan api yang ditetapkan dalam tempoh Regulatory Period 3 (RP3) di bawah kerangka Incentive Based Regulation (IBR). Oleh itu, Kementerian akan meneruskan cadangan pemberian subsidi elektrik secara bersasar mengikut penggunaan elektrik dalam semakan kos ICPT bagi tempoh selanjutnya iaitu Januari hingga Jun 2024.



Sekian, terima kasih.



Attachments