Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

392

Soalan

Tuan Jamaludin bin Yahya [ Pasir Salak ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan apakah Kementerian berhasrat mengkaji semula keberkesanan subsidi tarif elektrik terutama kepada pengguna domestik yang berpendapatan rendah dan menengah.

Jawapan

Tuan Yang Dipertua,

 Untuk Makluman Ahli Yang Berhormat,

 1.           Sejak pelaksanaan Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) pada tahun 2014 sehingga Jun 2023, semua pengguna domestik di Semenanjung tidak pernah dikenakan surcaj ICPT walaupun semua pengguna sepatutnya membayar tarif elektrik mengikut penggunaan mereka berdasarkan harga bahan api di pasaran. Bermula pada Januari 2021 hingga Jun 2023, semua pengguna domestik telah menikmati rebat 2 sen/kWj berdasarkan semakan ICPT bagi tempoh enam bulan sebelumnya.

2.           Walau bagaimanapun, Kerajaan telah melaksanakan subsidi bersasar kepada pengguna domestik bermula pada Julai 2023, yang mana pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan yang tinggi iaitu melebihi 1,500 kWj atau bersamaan bil elektrik minimum RM708 sebulan yang kebanyakannya adalah golongan berpendapatan tinggi dikenakan surcaj 10 sen/kWj bagi tempoh 1 Julai 2023 sehingga 31 Disember 2023. Pengguna-pengguna ini dijangka berpendapatan tinggi kerana mampu mempunyai banyak peralatan dan kemudahan yang menggunakan elektrik di kediaman masing-masing. Sungguhpun begitu, Kerajaan melalui Kementerian Kewangan masih menanggung subsidi berjumlah RM58 juta kepada kumpulan pengguna ini disebabkan surcaj sebenar tidak dilepaskan sepenuhnya.


3.           Secara keseluruhannya, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM10.6 bilion bagi pemberian subsidi elektrik kepada pengguna domestik sejak Januari 2022 sehingga Disember 2023. Keputusan pemberian subsidi elektrik oleh Kerajaan ini bertujuan supaya peningkatan harga bahan api di pasaran dunia bagi penjanaan elektrik tidak dilepaskan kepada rakyat secara keseluruhannya bagi mengelakkan impak kenaikan kos sara hidup secara mendadak serta melindungi rakyat yang berpendapatan rendah dan menengah.

4.           Selain itu, Kementerian juga terus komited untuk meneruskan Program Rebat Bil Elektrik RM40 pada tahun 2024. Program ini akan menyalurkan bantuan secara bersasar sehingga maksimum RM40 untuk membiayai bil elektrik bulanan Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin tegar yang berdaftar dan disahkan melalui Sistem eKasih bagi meringankan beban kewangan dan kos sara hidup rakyat. Pada tahun 2022 seramai 120,135 KIR telah menerima manfaat melalui program ini manakala sehingga 31 Julai 2023, seramai 63, 917 KIR juga telah menerima manfaat yang sama.

5.           Untuk makluman, syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak mempunyai maklumat mengenai pendapatan isi rumah pengguna. Oleh itu, kaedah pemberian subsidi elektrik mengikut pendapatan pada masa akan datang hanya boleh dilaksanakan setelah inisiatif sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang sedang dibangunkan oleh Kerajaan siap kelak. Kementerian akan mencadangkan pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar ini diperluaskan lagi kepada pengguna domestik yang lain dalam semakan tarif elektrik di bawah mekanisme ICPT pada tahun 2024. Pelaksanaan subsidi secara bersasar ini mampu memberikan isyarat yang tepat kepada pengguna elektrik di Semenanjung berkaitan situasi semasa harga bahan api di pasaran global. Justeru, pengguna elektrik seharusnya mengamalkan amalan berjimat cermat dan mempraktikkan kecekapan tenaga dalam penggunaan elektrik seharian.

Sekian, terima kasih.

Attachments