Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

523

Soalan

Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [ Jerantut ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan kenapa kualiti air Sungai Jelai semakin tercemar sehingga mengganggu kualiti pembenihan Ikan Patin di Jerantut, dan apa tindakan Kementerian untuk kembalikan kualiti air supaya tidak lagi tercemar.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Berdasarkan kepada rekod Jabatan ini adalah didapati terdapat 36 projek EIA dan 116 premis yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] berada di dalam lembangan Sungai Jelai. Status pematuhan mendapati terdapat 4 tindakan kompaun dan 16 Notis Arahan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37, Akta 127. 


  1. Seterusnya, Indeks Kualiti Air (IKA) di stesen persampelan kualiti air di Sungai Jelai adalah masih berada di dalam Kelas II. Walau bagaimanapun, kandungan punca pencemar bagi parameter pepejal terampai adalah agak tinggi. Kandungan parameter pepejal terampai yang tinggi ini adalah disebabkan oleh impak hakisan dan kelodakan dari aktiviti-aktiviti kerja tanah yang melibatkan projek pertanian, pembalakan, perlombongan dan sebagainya.


  1. Dalam menangani isu pencemaran Sungai Jelai ini yang berpunca daripada aktiviti yang dinyatakan di atas, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil pelbagai langkah termasuk di peringkat penguatkuasaan, perancangan dan pengawasan. Antara langkah penguatkuasaan dan perancangan yang dilaksanakan oleh JAS adalah seperti berikut:


  1. mempertingkatkan penguatkuasaan bagi punca-punca pencemaran yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] dan peraturan-peraturan di bawahnya seperti kawalan kepada projek-projek yang tertakluk kepada kelulusan Environmental Impact Assessment (EIA);


  1. memastikan projek-projek pembangunan yang tertakluk kepada Environmental Impact Assessment (EIA) terutama yang melibatkan kerja tanah hendaklah menyediakan pelan kawalan hakisan dan mendapan dan seterusnya mematuhi syarat-syarat kelulusan laporan EIA yang berkaitan pelepasan kelodakan;


  1. mengenal pasti lokasi aduan yang sering dikaitkan dengan pencemaran supaya penguatkuasaan adalah lebih berfokus;


  1. meningkatkan penggunaan teknologi seperti penggunaan dron dan pelaporan pemantauan alam sekitar secara atas talian; dan


  1. penguatkuasaan dan pemantauan melalui pelaksanaan operasi bersepadu dengan agensi-agensi penguatkuasaan dalam menangani isu-isu berkaitan dalam bidang kuasa masing-masing seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pertanian, Jabatan Perhutanan dan lain-lain lagi agensi yang berkaitan.


  1. Untuk makluman, JAS akan terus menjalankan kerja-kerja pengawasan kualiti air secara berterusan melalui Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (Environmental Quality Monitoring Program - EQMP). Sebanyak 3 stesen pengawasan manual bagi pemantauan kualiti air sungai di lembangan sungai ini. Kementerian juga akan meningkatkan penggunaan data dan maklumat pengawasan kualiti air sungai untuk merancang dan menyusun strategi penguatkuasaan dalam memastikan  isu pencemaran sungai-sungai ini dapat ditangani dengan berkesan dan keseimbangan sistem ekologi dapat dikekalkan.


Sekian, terima kasih. ​

Attachments