Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

530

Soalan

Dato' Indera Mohd Shahar bin Abdullah [ Paya Besar ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan trend kebergantungan, corak peningkatan harga dan negara sumber untuk penjanaan tenaga elektrik dari tahun 2012 hingga 2023 serta nyatakan apakah faktor yang mengukuhkan bahawa ICTP tidak membebankan rakyat dan PMKS.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Untuk Makluman Ahli Yang Berhormat,


  1. Tarif elektrik disemak setiap enam bulan sekali melalui mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) dengan mengambil kira kos bahan api dan penjanaan lain bagi tempoh enam bulan ke belakang. Berdasarkan mekanisme ICPT ini, semua pengguna perlu membayar bil elektrik masing-masing setelah diselaraskan melalui pemberian rebat atau surcaj bergantung kepada semakan terhadap harga bahan api sebenar bagi tempoh setiap enam bulan. Ini bermakna, secara prinsipnya semua pengguna sepatutnya membayar tarif elektrik mengikut penggunaan mereka berdasarkan harga bahan api di pasaran.


  1. Sumber penjanaan utama tenaga elektrik di Semenanjung adalah arang batu dan gas. Dalam hal ini, hampir 70% arang batu dibeli daripada Indonesia kerana ciri-ciri arang batu tersebut sesuai untuk digunakan bagi penjanaan elektrik di Malaysia serta kadar mata wang dan kos pengangkutan yang lebih murah. Arang batu juga turut diperolehi daripada negara Australia, Afrika Selatan dan Rusia. Penjanaan elektrik adalah berdasarkan prinsip least cost dispatched, di mana kos bahan api yang paling murah akan dijana dahulu.



  1. Jadual 1 seperti di Lampiran menunjukkan tren kebergantungan, corak peningkatan harga dan negara sumber utama bahan api bagi penjanaan elektrik sejak mekanisme ICPT mula dilaksanakan pada tahun 2014. Selain itu, Jadual 1 turut menunjukkan kos ICPT, rebat atau surcaj serta subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan kepada pengguna domestik dan pengguna daripada kalangan Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang kebanyakannya terdiri daripada pengguna bukan domestik dalam kategori voltan rendah  (Low Voltage – LV).


  1. Berdasarkan jadual tersebut, kos ICPT adalah selari dengan tren harga bahan api di pasaran global. Namun begitu, kadar pelepasan rebat atau surcaj kepada pengguna elektrik adalah tertakluk kepada keputusan Kerajaan. Sejak pelaksanaan ICPT pada tahun 2014 sehingga Jun 2023, semua pengguna domestik di Semenanjung tidak pernah dikenakan surcaj ICPT. Bermula pada Januari 2021 sehingga Jun 2023, semua pengguna domestik telah menikmati rebat 2 sen/kWj walaupun harga bahan api pada ketika itu telah meningkat dengan mendadak disebabkan oleh peningkatan harga bahan api terutamanya arang batu di pasaran dunia. 


  1. Dalam hal ini, pemberian rebat kepada pengguna telah ditampung menggunakan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) dan Kementerian Kewangan walaupun sepatutnya semua pengguna dikenakan surcaj. Secara keseluruhannya, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM10.6 bilion bagi pemberian subsidi elektrik kepada pengguna domestik sepanjang pelaksanaan mekanisme ICPT daripada 2022 sehingga Disember 2023.


  1. Namun begitu, selaras dengan dasar Kerajaan untuk melaksanakan subsidi elektrik secara bersasar, Kerajaan telah bersetuju untuk melepaskan surcaj ICPT pada kadar 10 sen/kWj kepada pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan yang tinggi iaitu melebihi 1,500 kWj mulai 1 Julai 2023 sehingga 31 Disember 2023. Kerajaan percaya bahawa keputusan untuk mengenakan surcaj sebanyak 10 sen/kWj kepada pengguna elektrik ini adalah tepat memandangkan rata-rata pengguna elektrik yang menggunakan elektrik melebihi 1,500 kWj atau bil elektrik minimum RM708 setiap bulan adalah golongan berpendapatan tinggi yang mempunyai banyak peralatan dan kemudahan yang menggunakan elektrik di kediaman masing-masing. Sungguhpun begitu, Kerajaan melalui Kementerian Kewangan masih menanggung subsidi berjumlah RM58 juta kepada kumpulan pengguna ini disebabkan surcaj sebenar tidak dilepaskan sepenuhnya. Kerajaan berhasrat untuk meneruskan proses pelarasan subsidi bagi membolehkan kepentingan rakyat terjaga.


  1. Kerajaan berhasrat teruskan proses pelarasan subsidi bagi bolehkan kepentingan rakyat terjaga. Selain itu, pengguna-pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif B dan D) serta tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) tidak mengalami sebarang kenaikan bil elektrik di mana surcaj ICPT pada kadar 3.70 sen/kWj telah dikekalkan sejak 1 Februari 2022. Kadar ini tidak pernah berubah sejak tahun 2022 sehingga kini walaupun kos ICPT telah meningkat dengan mendadak.


  1. Dalam erti kata yang lain, pengguna-pengguna Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk restoran, kedai runcit, bakeri, bengkel-bengkel kecil serta petani, penternak, pekebun dan lain-lain perniagaan seumpamanya adalah dibantu oleh Kerajaan dengan tidak mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik. Pengekalan surcaj pada kadar minimum 3.70 sen/kWj sejak tahun 2022 ini melibatkan peruntukan subsidi Kerajaan sebanyak RM6.8 bilion.


  1. Namun begitu, Kementerian sentiasa menyarankan pengguna-pengguna elektrik sama ada pengguna domestik mahupun bukan domestik untuk sentiasa mempraktikkan amalan cekap tenaga. Antaranya, meneroka potensi solar melalui pemasangan sistem solar bagi kegunaan sendiri (self-consumption – SelCo) atau menyertai Program Net Energy Metering 3.0 (NEM 3.0). Kementerian juga menyarankan pengguna elektrik untuk mengamalkan penggunaan elektrik secara cekap dengan menggunakan peralatan cekap tenaga yang mendapat penarafan 4 atau 5 bintang oleh pihak Suruhanjaya Tenaga. Inisiatif-inisiatif ini dapat membantu pengguna elektrik untuk mengurangkan bil elektrik mereka pada masa akan datang.


Sekian, terima kasih.​

Attachments