Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Perhutanan, Biodiversiti

Nombor Soalan

566

Soalan

Datuk Andi Muhammad Suryady bin Bandy [ Kalabakan ] minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan apakah langkah mitigasi yang dirangka oleh pihak Kementerian di dalam menangani konflik di antara manusia-hidupan liar iaitu melibatkan populasi gajah pygmy Borneo di kawasan sekitar Kalabakan yang kini berpotensi memberi ancaman kepada penduduk dan hasil tanaman.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Gajah Pygmy merupakan spesies yang dilindungi di bawah Jadual 1 “Spesies Dilindungi Sepenuhnya”, Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997. Kerajaan Negeri Sabah melalui Jabatan Hidupan Liar Sabah mengambil perhatian serius terhadap konflik manusia dan hidupan liar yang semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini yang berpotensi memberi ancaman kepada penduduk dan hasil tanaman.


Antara langkah yang sedang dan telah diambil oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah bagi menangani isu ini adalah seperti berikut:


(i) melaksanakan pemasangan pagar elektrik bagi mengurangkan kemasukan gajah ke kawasan ladang;


(ii) melantik Warden Kehormat Hidupan Liar bagi menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan pengawalan hidupan liar secara berkala;


(iii) menubuhkan Mesyuarat Task Force Human Elephant Conflict bagi membincangkan perkara berkaitan dengan pengurusan konflik gajah di setiap ladang dan pemegang taruh yang terlibat;


(iv) menjalankan operasi tangkapan dan pemindahan. Ini merupakan jalan terakhir kerana ia melibatkan kos operasi yang tinggi dan kekurangan kawasan yang dapat memastikan gajah tidak kembali ke kawasan gajah setelah dipindahkan; dan


(v) menjalankan program pemantauan pergerakan kumpulan gajah melalui pemasangan kolar satelit yang berfungsi sebagai sistem amaran awal (early warning system) bagi mengesan pergerakan gajah ke kawasan pertanian atau penempatan manusia.


Sekian, terima kasih.​

Attachments