Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

27 November 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

35

Soalan

Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan apakah rancangan Kerajaan untuk merangka undang-undang baru bagi mengawal masalah jerebu sebagaimana yang telah dilakukan oleh negara jiran.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kerajaan sedang meneliti mekanisme dan instrumen perundangan yang efektif bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan termasuk Akta Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan. Namun, ia perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk keberkesanan dan kebolehlaksanaan instrumen perundangan tersebut. Perkara ini juga mengambil kira kekangan pelaksanaan akta seumpamanya oleh negara jiran.


  1. Walau bagaimanapun, terdapat contoh instrumen perundangan yang paling berjaya setakat ini, iaitu Perjanjian Kualiti Udara Amerika Syarikat-Kanada, kerana kedua-dua negara terlibat mampu menerimanya dan terdapat sesebuah badan untuk menguruskan perjanjian tersebut.


  1. Justeru itu, NRECC akan mengadakan sesi libat urus bersama Panel Penasihat dan Panel Konsultasi berkaitan alam sekitar, pihak-pihak berkepentingan serta pakar-pakar undang-undang dan alam sekitar bagi mendapatkan input dan pandangan pelbagai sudut merangkumi langkah-langkah jangka masa pendek dan jangka masa panjang dalam menangani masalah jerebu merentas sempadan secara holistik.


  1. Di peringkat antarabangsa pula, inisiatif bagi menangani pencemaran jerebu merentas sempadan telah bermula sejak tahun 2002 dengan termeterainya Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Merentas Sempadan (ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution – AATHP) yang ditandatangani oleh 10 buah negara ASEAN di Kuala Lumpur pada 10 Jun 2002.


  1. Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam mesyuarat tahunan di bawah AATHP iaitu Meeting of the Committee (COM) dan Conference of the Parties (COP) to the ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution melibatkan semua negara anggota ASEAN serta Mesyuarat Technical Working Group (TWG) dan Sub-Regional Ministerial Steering Committee (MSC) on Transboundary Haze Pollution yang melibatkan lima negara di Selatan rantau ASEAN (iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand). Mesyuarat-mesyuarat ini antara lain bertujuan memantau situasi cuaca, keadaan jerebu dan membincangkan langkah-langkah pencegahan kejadian jerebu merentas sempadan di rantau ini.


  1. Malaysia juga telah bersetuju dengan Perjanjian Penubuhan ASEAN Coordinating Centre for Transboundary Haze Pollution Control (ACC THPC). Sebelum ini, peranan ACC THPC telah dijalankan oleh Sekretariat ASEAN secara interim. Melalui penubuhan ACC THPC yang berpusat di Indonesia ini, pengurusan kebakaran dan insiden jerebu merentas sempadan akan lebih terselaras dan pengoperasian pusat ini akan menyokong pelaksanaan penuh AATHP dengan lebih efektif dan berkesan. 


  1. Walau bagaimanapun, tiada tindakan punitif boleh diambil di bawah AATHP ke atas syarikat atau negara yang menyebabkan jerebu merentas sempadan di negara-negara ASEAN yang terjejas. Semua isu dan pertikaian perlu diselesaikan secara rundingan dan kesepakatan (amicable) selaras dengan perjanjian ini. Namun begitu, Kerajaan akan meneliti perkara ini dan mengusulkan cadangan penambahbaikan kepada AATHP dalam sesi mesyuarat di peringkat ASEAN berkaitan jerebu merentas sempadan yang akan datang.


Sekian, terima kasih.​

Attachments