Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

27 November 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

64

Soalan

Dato' Ahmad bin Dato' Sri Hj. Ibrahim minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan apakah perancangan strategik dari Kementerian dalam menghadapi perubahan iklim terutamanya semasa musim tengkujuh.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

  1. Peningkatan kejadian banjir yang berpunca daripada impak perubahan iklim sememangnya memberi kesan langsung kepada penduduk yang mendiami kawasan-kawasan berisiko dan terdedah kepada bencana ini.

  2. Susulan itu, Kerajaan sentiasa proaktif dan mengambil pendekatan berperingkat atau 'stepwise approach' dalam merancang pelan strategik jangka panjang dan jangka pendek untuk menangani impak perubahan iklim terutamanya dalam menghadapi musim tengkujuh. Usaha ini termasuk integrasi tindakan mitigasi dan adaptasi dalam agenda pembangunan negara, sistem pengurusan risiko bencana dan sistem pengurusan banjir.

  3. Dalam menghadapi peralihan musim tengkujuh, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah meningkatkan tahap kecekapan sistem pengurusan banjir melalui Pengurusan Banjir Secara Bersepadu (Integrated Flood Management - IFM).

  4. Kementerian melalui JPS juga turut melaksanakan Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) dengan menggunakan National Flood Forecasting and Warning System (NaFFWS). Melalui sistem ini, ramalan awal banjir dapat dibuat dengan mengesan hujan dan aras air pada masa sebenar (real time).

  5. Selain itu, untuk meningkatkan kecekapan penyampaian hebahan amaran banjir pula, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), JPS dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah melaksanakan hebahan amaran bencana banjir menggunakan kaedah flash broadcast/Sistem Pesanan Ringkas (Short Message Service - SMS) ke telefon mudah alih  penduduk-penduduk di lokasi yang diramalkan banjir oleh sistem NaFFWS yang telah dibangunkan tersebut.

  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024 atau musim tengkujuh di Malaysia yang telah bermula pada 11 November 2023 dan dijangka berterusan sehingga Mac 2024. Dalam tempoh ini, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku. Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) yang beroperasi 24/7, akan menggerakkan pasukan bilik gerakan apabila amaran berperingkat dikeluarkan bagi memastikan pemantauan yang lebih efisien serta mengelakkan kegagalan (downtime) ke atas sistem pemantauan dan penyampaian. Di peringkat negeri, taklimat-taklimat tinjauan cuaca telah disampaikan kepada agensi-agensi pengurusan bencana masing-masing bagi memastikan kesiapsiagaan untuk menghadapi MTL.

  2. MET Malaysia akan menaiktaraf 100 buah Stesen Pencerapan Cuaca Permukaan Automatik melalui projek pembangunan RP3 RMKe-12 dengan dengan kos sebanyak RM13.4 untuk memantau keadaan cuaca dengan lebih terperinci pada masa nyata. Data-data cuaca yang berkualiti merupakan elemen penting bagi penyediaan ramalan dan amaran cuaca buruk serta pemantauan perubahan iklim di seluruh Malaysia.

  3. Di samping itu, di bawah projek RMKe-11 dan RMKe-12, MET Malaysia telah dan sedang memasang lapan (8) buah stesen radar baharu sebagai tambahan kepada 11 buah stesen radar sedia ada bagi membolehkan pemantauan hujan lebat dapat dilakukan dengan lebih teliti dan menyeluruh.

  4. MET Malaysia juga kini sedang dalam proses meningkatkan keupayaan model cuaca dengan mengadaptasi teknologi Sistem Komputer Berprestasi Tinggi (High Performance Computing (HPC)) bagi pemerkasaan ramalan dan amaran banjir dengan peruntukan RM192.7 juta. Produk-produk model ramalan cuaca numerikal yang dijanakan oleh Sistem HPC ini membolehkan Jabatan mengesan kejadian cuaca buruk  14 hari lebih awal berbanding dahulu hanya tujuh (7) hari. Ia juga membekalkan perincian bagi kawasan dilanda bencana dengan resolusi 333 meter berbanding 1-kilometer sebelum ini. 

  5. Seiring dengan perkembangan semasa agar penyampaian perkhidmatan dapat memenuhi kehendak rakyat, MET Malaysia telah membangunkan aplikasi mobil myCuaca yang dapat memberikan maklumat cuaca dan gempa bumi untuk diakses pada bila-bila masa oleh orang ramai. MET Malaysia juga turut membangunkan aplikasi mobil RakanMET iaitu medium perkongsian maklumat cuaca dikalangan orang awam, selain daripada ramalan cuaca setempat untuk beberapa jam akan datang.


Sekian, terima kasih.​

Attachments