Tuan Yang di-Pertua,
1. Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) komited untuk memastikan air kumbahan dirawat dengan baik. Sistem perkhidmatan pembetungan bersambung yang disediakan secara berterusan melibatkan air sisa dari premis perumahan, komersil dan industri disalurkan ke loji rawatan kumbahan (LRK) awam melalui paip pembetungan di bawah tanah untuk dirawat. Air sisa yang dirawat di LRK awam yang dioperasi dan diselenggara oleh IWK perlu mematuhi tahap piawaian Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Kumbahan) sebelum dilepaskan ke sungai. Sehingga Oktober 2023, IWK telah mengendali dan menyelenggara sebanyak 7,451 LRK awam dengan tahap pematuhan pelepasan efluen terawat melebihi 97% dan telah menyediakan perkhidmatan bersambung untuk lebih kurang 5 juta akaun pengguna di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
2. Di samping itu, pihak IWK turut melindungi sungai-sungai daripada pencemaran melalui penyediaan perkhidmatan pengosongan tangki septik persendirian (IST) kepada semua kategori pelanggan. Melalui perkhidmatan ini, enapcemar yang melimpah keluar dari IST dapat mengelakkan sungai dan alam sekitar daripada tercemar. Dengan itu, setiap pemilik premis kediaman yang memiliki tangki septik individu diwajibkan mengosongkan atau menyahenap cemar tangki septik secara berkala selaras dengan Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021 yang dikuatkuasa oleh Kementerian melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Ini adalah untuk memastikan setiap pengguna tidak mengabaikan penyelenggaraan tangki septik malah dapat mengelakkan daripada berlakunya pencemaran dan risiko penyakit. Sekiranya pengguna atau pemilik premis gagal berbuat demikian, denda akan dikenakan sehingga RM50,000 di bawah Seksyen 65(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655].
3. Manakala bagi pelepasan sisa terlarang secara haram yang dilepaskan ke dalam lurang pembetungan, pihak IWK juga telah berkerjasama dengan SPAN, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan badan berkuasa air seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melaksanakan pemantauan bagi mengawal pembuangan sisa terlarang secara haram serta menjalankan penyiasatan sekiranya berlaku pembuangan sisa terlarang ke dalam sungai.
Sekian, terima kasih.