Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

30 November 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

20

Soalan

Datuk Razali bin Idris minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan impak perubahan iklim yang mampu menggugat pasaran tempatan, meningkatkan risiko ke tidak jaminan makanan, mengehadkan pertumbuhan ekonomi, menjejaskan pelaburan dalam sektor pertanian, meningkatkan pengangguran dan kehilangan punca pendapatan pekerja di Malaysia.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sebagaimana yang telah dilaporkan dalam Laporan Komunikasi Kebangsaan Ketiga kepada Kerangka Konvensyen Perubahan Iklim di bawah Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu, atau dengan izin, Third National Communications to the United Nations Convention Framework on Climate Change, kesan utama perubahan iklim yang dialami negara adalah kejadian banjir yang lebih ekstrem, kemarau panjang dan kenaikan aras laut. 


Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) giat melaksanakan penyelidikan impak perubahan iklim terhadap sektor air negara yang menjurus kepada peningkatan suhu serta peningkatan episod hujan ekstrem termasuk perubahan tempoh, intensiti dan pola hujan yang akan meningkatkan risiko episod banjir ekstrem.


Kementerian ini turut mengenal pasti langkah-langkah jangka panjang bagi menangani kesan perubahan iklim ke atas pasaran tempatan, sektor pertanian dan punca pendapatan rakyat. Kejayaan pelaksanaan langkah-langkah ini bergantung kepada kerjasama semua pihak sama ada agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri, pihak berkuasa tempatan, NGO, masyarakat  dan sebagainya.


Bagi tujuan ini, Kementerian sedang membangunkan Pelan Tindakan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) yang akan menjadi panduan asas untuk merangka strategi tindakan negara bagi menangani kesan perubahan iklim seperti banjir, kenaikan paras laut, hakisan pantai dan kemarau terhadap lima sektor utama iaitu:


i. jaminan air dan sumber pesisir;

ii. pertanian dan jaminan makanan;

iii. infrastruktur, tenaga dan persekitaran terbina termasuk bandaraya;

iv. perhutanan dan biodiversiti; dan

v. kesihatan awam.


Sekian, terima kasih.​

Attachments