Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) terlibat dalam menyediakan latihan perhutanan untuk melahirkan tenaga kerja yang unggul melalui program-program komprehensif dan bersepadu di bawah Institut Latihan Perhutanan (FORTRAIN).
2. FORTRAIN menawarkan dua bentuk kursus perhutanan, iaitu Kursus Sijil Perhutanan Renjer Hutan (KSPRH) dengan tempoh pengajian selama dua (2) tahun dan Kursus Sijil Perhutanan Pengawas Hutan (KSPPH) dengan tempoh pengajian selama satu (1) tahun.
3. Pelatih KSPRH di FORTRAIN diberi pendedahan kepada subjek dalam bidang perhutanan seperti Pengenalan Pokok (Dendrologi/ Botani), Pengurusan Hutan Secara Berkekalan, Pengecaman Kayu, Biodiversiti Hutan, Survei Hutan, Penguatkuasaan Hutan, Silvikultur, Ekopelancongan, Pengucapan Awam dan lain-lain subjek yang ditetapkan. Selain itu, pelatih KSPRH juga wajib mengikuti beberapa kursus yang menjadi pra syarat wajib seperti Latihan Ala Tentera (LAT), Latihan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (LKKP), Latihan Ikhtiar Hidup (LIH) dan Latihan Teknikal Perhutanan (LTP).
4. JPSM sentiasa memberi keutamaan kepada keselamatan para pelatih dengan membekalkan kelengkapan peralatan keselamatan, peralatan kerja yang lengkap seperti helmet, kasut, pakaian yang sesuai dan sebagainya.
Sekian, terima kasih.