Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

05 December 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

43

Soalan

Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan bagaimanakah Kerajaan dapat mengurangkan kebergantungan tenaga kepada sumber asli yang tidak boleh diperbaharui seperti arang batu.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan komited dalam merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif yang mesra alam dalam penjanaan elektrik selari dengan hasrat dan dasar negara untuk mengurangkan kebergantungan tenaga kepada sumber asli yang tidak boleh diperbaharui seperti arang batu.


  1. Di peringkat Kementerian, Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan, Pelaksanaan dan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) yang dipengerusikan oleh YB Menteri yang bertanggungjawab dalam pembekalan elektrik negara, berperanan menentukan dasar dan hala tuju mengenai campuran bahan api (fuel mix) untuk penggunaan sektor penjanaan elektrik agar sumber tenaga negara digunakan secara optimum dan lestari.


  1. Mesyuarat JPPPET pada 7 Februari 2023 telah memutuskan tiada lagi loji janakuasa arang batu yang baharu dan tiada pelanjutan bagi loji janakuasa arang batu sedia ada. Ini bagi memastikan tiada lagi sumber penjanaan berasaskan arang batu yang dirancang dalam unjuran Pelan Pembangunan Penjanaan (Power Development Plan – PDP) untuk tempoh 20 tahun akan datang.


  1. Keputusan ini juga dibuat dengan mengambil kira komitmen Kerajaan dalam Perjanjian Paris 2015 untuk mengurangkan 45% intensiti pelepasan gas rumah kaca menjelang tahun 2030 berbanding intensiti pada tahun 2005 dan aspirasi Kerajaan untuk mencapai sifar bersih seawal-awalnya pada tahun 2050.


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Pada masa ini, sektor penjanaan elektrik negara masih bergantung kepada dua sumber bahan api fosil utama, iaitu gas dan arang batu bagi memenuhi permintaan baseload. Buat masa ini, Kerajaan belum merancang untuk menutup lapan (8) buah loji janakuasa arang batu yang sedang beroperasi lebih awal berbanding tarikh tamat operasi loji-loji tersebut. Loji janakuasa arang batu terakhir yang akan tamat operasi adalah pada tahun 2044.


  1. Kerajaan sentiasa berusaha mencari jalan untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam penjanaan elektrik termasuk potensi untuk melaksanakan mothballing dan co-firing serta potensi penjanaan elektrik berasaskan sumber lain yang lebih bersih dan boleh diperbaharui.


Sekian, terima kasih.​

Attachments