Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

05 December 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Air

Nombor Soalan

53

Soalan

Dato' (Dr.) Arman Azha bin Abu Hanifah minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan apakah usaha yang diambil oleh pihak Kementerian dalam menangani isu banjir kilat di sekitar bandar raya Kuala Lumpur yang menyebabkan imej bandar raya Kuala Lumpur kian merosot dengan fenomena banjir kilat yang tiada kesudahan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua.


  1. Untuk makluman Yang Berhormat, pengurusan banjir memerlukan kerjasama bersepadu merangkumi sistem perparitan dan pengurusan sungai yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi. Sistem perparitan adalah terletak di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagaimana Seksyen 50 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133). Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengurus dan menyenggara semua sungai. Kedua-dua sistem saliran dan sistem perparitan seharusnya dinaiktaraf seiring dengan pembangunan. 


  1. Sistem perparitan sedia ada perlu sentiasa disenggara termasuklah pembersihan sampah sarap secara berkala agar aliran air lancar dan risiko banjir kilat dapat dikurangkan serta menaiktaraf sistem perparitan yang lama yang tidak dapat menampung kapasiti air larian apabila berlakunya hujan yang lebat.


  1. Selain itu, JPS juga telah melaksanakan projek-projek tebatan banjir berimpak besar di Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Berikut adalah beberapa projek tebatan banjir yang telah berjaya dibina dan beroperasi di Kuala Lumpur antaranya; 

    1. Pembinaan dan operasi Empangan Batu; 

    2. Projek naik taraf dan operasi Empangan Klang Gate;

    3. Projek Terowong SMART (KLFM A);

    4. Sistem Lencongan Banjir Keroh (KLFM B);

    5. Sistem Lencongan Banjir Gombak (KLFM B); dan

  1. Rancangan Tebatan Banjir Sungai Bunus (KLFM C).         

                 

  1. Antara projek-projek yang sedang dilaksanakan oleh JPS adalah seperti berikut:

    1. Projek Menaiktaraf Kolam Takungan Banjir Batu dan  Lencongan Gombak (KLFM B);

    2. Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Bunus;

    3. Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Kuyoh; dan

    4. Projek Rancangan Tebatan Banjir Upper Sungai Klang.


  1. Manakala, bagi penyelesaian jangka masa panjang, Kajian Pelan Induk Lembangan Sungai Klang sedang disediakan dengan tujuan antaranya bagi melihat semula keupayaan Kuala Lumpur Flood Mitigation (KLFM) sedia ada sama ada berupaya memberi perlindungan banjir dan mengambil kira faktor-faktor seperti perubahan iklim, pembangunan terkini dan masa hadapan. Pelan induk ini dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2024.


Sekian, terima kasih.​​

Attachments