Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 2 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 06 December 2023 | Tahun Persidangan | 2023 | Kategori | Mineral, Geosains | Nombor Soalan | 32 | Soalan | Dato' Haji Husain bin Awang minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan sejauh mana Dasar Mineral Negara yang dirangka bergerak selari dengan Dasar Perhutanan Negara dan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan bagi memelihara alam sekitar, hidupan liar dan Orang Asli.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kerangka Dasar Mineral Negara 3 (DMN 3) adalah kesinambungan kepada Dasar Mineral Negara 1 (1992) dan Dasar Mineral Negara 2 (2009) yang telah dibangunkan sebelum ini. Kerangka DMN 3 ini dibangunkan bagi menambah baik dasar sedia ada dan menyokong pembangunan keseluruhan rantaian nilai industri mineral bagi menjana sumber ekonomi baharu melalui perlombongan secara bertanggungjawab dan mampan.
Kementerian telah melihat dan meneliti dasar-dasar sedia ada yang berkaitan semasa membangunkan DMN3 termasuk Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 (DKBK) dan Dasar Perhutanan Malaysia (DPM). Hal ini bagi memastikan dasar yang sedang dibangunkan ini tidak mendatangkan impak negatif yang ketara kepada usaha pemeliharaan alam sekitar dan kepelbagaian biologi negara dan seterusnya dapat memelihara kesejahteraan hidup Orang Asli dan masyarakat setempat. Perkara-perkara ini menjadi antara elemen yang diberikan penekanan dalam perancangan dan pelaksanaan pengurusan dan pembangunan industri mineral.
Mengambil kira elemen pemeliharaan dan pemuliharaan hutan dan biodiversiti negara seperti yang dinyatakan dalam dasar-dasar tersebut, Kementerian telah menetapkan sasaran strategik untuk membangunkan dasar yang dapat memandu pengurusan industri mineral negara ke arah mencapai pembangunan secara bertanggungjawab dan mampan. Salah satu sasaran strategik yang telah ditetapkan dalam kerangka DMN 3 ialah memastikan industri mineral dibangunkan secara mampan dan bertanggungjawab selaras dengan komitmen negara terhadap sasaran di bawah Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030) yang bermatlamat untuk mencapai pembangunan mampan merangkumi sosial, ekonomi dan alam sekitar.
Selain itu, Kementerian juga menetapkan elemen penekanan kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai salah satu teras dalam DMN 3. Hal ini bagi menyokong pembangunan industri mineral yang bukan sahaja memberi pulangan ekonomi tetapi mewujudkan pengurusan sumber mineral yang bertanggungjawab, mampan malah seimbang dengan aspek penjagaan alam sekitar dan pemeliharaan biodiversiti negara.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|