Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 2 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 06 December 2023 | Tahun Persidangan | 2023 | Kategori | Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 37 | Soalan | Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan langkah-langkah yang sedang diambil oleh Kementerian untuk menggalakkan amalan terbaik bagi rekaan, binaan dan pengurusan bangunan dengan menggunakan seni bina dan teknologi yang cekap untuk memaksimumkan penggunaan cahaya dan pengudaraan semula jadi dan mengurangkan penggunaan pencahayaan elektrik dan sistem penghawa dingin.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia telah menerbitkan satu garis panduan iaitu Guidelines For Energy Efficiency in Building pada Disember 1989 sebagai panduan kepada sektor pembinaan untuk membangun dan mengoperasikan bangunan secara cekap tenaga. Pada tahun 2001, garis panduan ini telah dijadikan Standard Malaysia, MS1525 – Code of Practice on Energy Efficiency and Use of Renewable Energy for Non-residential Buildings.
Satu projek demonstrasi Low Energy Office (LEO) Building iaitu bangunan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air di Parcel E, Putrajaya menggunakan piawaian MS1525 telah dibina pada tahun 2004 dan berjaya mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 55% berbanding bangunan biasa. Susulan daripada projek tersebut, Kementerian telah mengadakan pelbagai aktiviti komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) terutamanya melibatkan pemegang taruh dalam sektor pembinaan. Hasil daripada libat urus yang berterusan, beberapa agensi Kerajaan pada masa ini seperti Suruhanjaya Tenaga (ST), SEDA Malaysia dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mempunyai kepakaran dan menawarkan khidmat nasihat teknikal berkenaan aspek reka bentuk dan pengoperasian bangunan cekap tenaga.
Bagi menggalakkan lagi pelaksanaan dan penerapan elemen cekap tenaga, Kerajaan juga telah menawarkan Energy Audit Conditional Grant (EACG) sehingga tahun 2025 kepada pemilik bangunan komersial untuk pelaksanaan audit tenaga dan mengenal pasti teknologi serta kaedah penjimatan tenaga bagi menjadikan sesebuah premis tersebut sebagai bangunan cekap tenaga.
Selain itu, NRECC menerusi Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) juga telah membangunkan Garis Panduan Amalan Industri Hijau Sektor Pembinaan, merangkumi pengukuran enam (6) indikator utama iaitu penggunaan bahan, pengurusan sisa, penggunaan air, penggunaan tenaga, inovasi dan pengurusan. Pembangunan garis panduan ini bertujuan untuk memberikan panduan bagi pelaksanaan amalan mampan dan penggunaan teknologi hijau dalam kalangan pemain industri tempatan khususnya bagi sektor pembinaan.
Di samping itu, bagi menggalakkan penawaran produk-produk hijau seperti peralatan cekap tenaga di pasaran tempatan, MGTC melaksanakan program penarafan label MyHIJAU Mark sebagai pelabelan utama bagi produk-produk yang mendapat pengiktirafan dan piawaian hijau di Malaysia. Produk berlabel MyHIJAU Mark akan disenaraikan dalam MyHIJAU Directory yang digunakan sebagai rujukan utama bagi pelaksanaan Perolehan Hijau Kerajaan (Government Green Procurement - GGP) dan penilaian bagi insentif Elaun Cukai Pelaburan Hijau (Green Investment Tax Allowance - GITA) Aset.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) telah menerbitkan Garis Panduan Perancangan (GPP) Bandar Rendah Karbon dan Berdaya Tahan Perubahan Iklim sebagai rujukan kepada Pihak Berkuasa Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Principal Submitting Person. GPP tersebut menggariskan langkah-langkah mitigasi dan adaptasi perubahan iklim dalam aspek perancangan spatial dan reka bentuk bangunan. Salah satu strategi yang digariskan dalam GPP tersebut adalah penyediaan infrastruktur berdaya tahan bencana dan cekap tenaga berasaskan konsep reka bentuk pasif. Konsep reka bentuk tersebut bertujuan untuk memaksimumkan pencahayaan dan pengudaraan semula jadi dalam sesebuah bangunan, sekaligus mengurangkan keperluan penggunaan peralatan elektrik seperti lampu dan penghawa dingin. Kesimpulannya, perkara ini melibatkan bidang kuasa dan dasar merentas Kementerian iaitu Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan. Namun demikian, NRECC dan agensi-agensi di bawahnya sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan Kementerian dan pemegang-pemegang taruh sektor pembinaan ke arah menggalakkan pembinaan lebih banyak bangunan cekap tenaga di Malaysia.
| Attachments |
|
|