Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

07 December 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Tenaga

Nombor Soalan

51

Soalan

Datuk Wira Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan adakah Garis Panduan Kaedah Penjimatan Tenaga di Pejabat dan Premis Kerajaan yang dikeluarkan oleh Kementerian dipantau pelaksanaannya untuk memastikan keberhasilan polisi ini.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Untuk makluman Yang Berhormat Senator,


Garis Panduan Kaedah Penjimatan Tenaga di Pejabat dan Premis Kerajaan sepertimana terkandung di dalam Surat Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2014 menerangkan berkenaan langkah-langkah penjimatan tenaga yang boleh dilaksanakan di Kementerian/Jabatan/Agensi Kerajaan sebagai langkah pengurangan perbelanjaan kos utiliti sebanyak 5% daripada kos utiliti Kerajaan. Garis panduan ini masih terpakai dan pelaksanaannya adalah berlandaskan kepada konsep Let Managers Manage, dimana setiap organisasi diperkasakan dan bertanggungjawab untuk melaksanakan dan memantau pemakaian garis panduan ini bagi memastikan sasaran penjimatan sebanyak 5% tersebut tercapai.

 

Untuk tahun 2014 hingga 2018, pencapaian setiap Kementerian dilaporkan semasa Mesyuarat Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara. Sepanjang tempoh pemantauan terdapat peningkatan penjimatan penggunaan tenaga elektrik, di mana pada tahun 2018, Kerajaan telah berjaya menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 20.9% berbanding tahun asas pada 2013. Pengurangan tenaga elektrik yang dicapai adalah sebanyak 55.9 juta kilowatt jam (kWj) yang juga bersamaan dengan kos tenaga bernilai RM20.4 juta. 


Mulai tahun 2018, prestasi penggunaan tenaga di bangunan Kerajaan dipantau melalui inisiatif pelabelan Building Energy Intensity (BEI) oleh Suruhanjaya Tenaga. Susulan daripada itu, prestasi penggunaan tenaga di bangunan Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dipantau menerusi kontrak fasiliti bangunan (facility management – FM). Pihak FM perlu memastikan BEI bangunan Kerajaan tersebut dikekalkan atau ditambah baik berbanding penarafan yang ditetapkan dalam kontrak. 


Mengambil kira hasrat Kerajaan ke arah mencapai aspirasi pelepasan Green House Gases (GHG) sifar bersih menjelang tahun 2050 bagi sektor tenaga dan menyokong Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara serta penguatkuasaan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023, NRECC berhasrat untuk mengemaskini Garis Panduan tersebut dan memperluaskan pemakaian serta  amalan penggunaan tenaga dengan cekap untuk semua Kementerian/Jabatan/Agensi Kerajaan Persekutuan.

Attachments