Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

07 December 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Biodiversiti, Perhutanan

Nombor Soalan

60

Soalan

Datuk Haji Mustafa bin Musa minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan bagaimanakah Kerajaan dapat membantu untuk menaik taraf dan menyelenggarakan operasi harian Zoo Melaka dan Taman Buaya di Melaka melalui bantuan geran kewangan agar tempat tarikan pelancongan ini terus terpelihara dan memanfaatkan Melaka sebagai destinasi pelancongan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2025.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia prihatin dalam membantu pengusaha Zoo dan Pameran Tetap (ZPT) di Semenanjung Malaysia termasuk Zoo Melaka serta Taman Buaya dan Rekreasi Melaka. Ini bagi menjamin kebajikan hidupan liar di bawah penjagaan ZPT. Setiap ZPT juga adalah tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716]. Zoo Melaka dimiliki dan diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, manakala Taman Buaya dan Rekreasi Melaka pula dimiliki oleh Taman Buaya & Reptilia (Melaka) Sdn. Bhd.

 

Sebanyak RM796,000 telah disalurkan kepada Zoo Melaka pada tahun 2022 bagi projek menaik taraf fasiliti pembiakan Harimau Malaya untuk meningkatkan bilangan Harimau Malaya dalam kurungan. Projek ini telah siap dilaksanakan pada tahun 2023.

 

Di samping itu, Zoo Melaka dan Taman Buaya dan Rekreasi Melaka masing-masing telah menerima peruntukan sebanyak RM1,188,206.32 kepada Zoo Melaka dan RM25,325.29 di bawah Bantuan Prihatin Hidupan Liar semasa pandemik COVID-19 bagi tujuan makanan, ubatan dan bahan cuci.

 

Bagi tahun 2023, Kerajaan Persekutuan tidak menyalurkan sebarang peruntukan geran bantuan kewangan khas bagi kerja-kerja penyelenggaraan atau pembangunan fasiliti di zoo-zoo seluruh Semenanjung Malaysia. Pihak pemilik/pengusaha ZPT sentiasa digalakkan untuk menyediakan pelan pengurusan perniagaan (bussiness plan) bagi menjadikan tempat tarikan pelancongan berkonsepkan hidupan liar ini terus berdaya maju.


Sekian, terima kasih.​

Attachments