Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

11 December 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Geosains

Nombor Soalan

28

Soalan

Tuan Musoddak bin Ahmad minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan pelan tindakan bagi menaik taraf Geopark Kebangsaan Jerai menjadi Geopark Global setaraf dengan Pulau Langkawi dan Gunung Kinabalu.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


1. Jerai Geopark telah mendapat pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan yang pertama pada 18 Julai 2017. Pengiktirafan Jerai Geopark sebagai geopark kebangsaan telah dinilai semula pada tahun 2021 dan telah lulus penilaian tersebut. Jerai Geopark Kebangsaan berkeluasan 816 kilometer persegi dan mengandungi 24 geotapak, 3 tapak geoarkeologi, 1 tapak biologi serta 7 tapak sejarah dan budaya.


2. Kejayaan Jerai Geopark sebagai geo pelancongan dapat dilihat di geo tapak Puncak Jerai (Padang Tok Sheikh, Telaga Tok Sheikh, Batu Kapal, Sungai Teroi dan tapak pemandangan indah Puncak Jerai), geo tapak Pantai Merdeka - Bukit Penjara dan geo tapak Pulau Songsong dan Pulau Bidan.

 

3. Geopark Kebangsaan layak dicalonkan sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) selepas dua (2) tahun diperakukan sebagai Geopark Kebangsaan. Tindakan pengesahan (affirmative action) diperlukan bagi mengangkat Geopark Kebangsaan menjadi UGGp seperti berikut:

 (i) kajian saintifik untuk menunjukkan warisan geologi luar biasa bernilai antarabangsa atau outstanding universal value (OUV);


(ii) menerbitkannya dalam jurnal berkualiti di peringkat antarabangsa; dan


(iii) menyediakan dossier mengikut garis panduan Majlis UGGp secara professional.​

4. Permohonan menjadi UGGp perlu dikemukakan kepada UNESCO Paris oleh Pengurus Geopark melalui Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM). Untuk memudahkan pengiktirafan di peringkat UNESCO, geopark kebangsaan yang dicalonkan sebagai UGGp, mestilah berbeza dari aspek kriteria geologi dan geomorfologi yang unik, perbezaan identiti khusus lain (biologi dan budaya) serta geografi kawasan yang berasingan daripada UGGp sedia ada di dalam dan luar negara.

5. Kementerian ini melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menerbitkan Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030 (PPGN) sebagai garis panduan kepada pihak berkepentingan untuk menggerakkan pembangunan geopark untuk diangkat sebagai Geopark Kebangsaan dan ke peringkat antarabangsa sebagai UGGp.

6. Justeru itu, Kementerian ini ingin menyarankan agar pihak Pengurusan Jerai Geopark dan Kerajaan Negeri Kedah khususnya, menjadikan PPGN sebagai rujukan utama dan panduan dalam mengorak langkah untuk mengangkat Jerai Geopark sebagai UGGp kelak.

Sekian, terima kasih.

Attachments