Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

11 December 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Perubahan Iklim

Nombor Soalan

48

Soalan

Tan Sri Datuk Seri Panglima Anifah Bin Aman minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan limpahan ekonomi yang akan diperoleh oleh Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah terutamanya dalam industri hidrogen, tenaga bio, mobiliti hijau dan carbon capture, utilisation and storage (CCUS).

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Untuk makluman Yang Berhormat Senator, antara limpahan ekonomi yang akan diperoleh oleh Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah dalam industri mobiliti hijau dan rendah karbon adalah melalui pewujudan peluang pekerjaan hijau, kemasukan pelaburan secara langsung dan tidak langsung, pembangunan kapasiti tenaga kerja (capacity building), pemindahan teknologi dan lain-lain. Secara terperinci adalah seperti berikut:


  1. pewujudan peluang pekerjaan hijau baharu: perluasan peluang pekerjaan meliputi industri infrastruktur sokongan seperti stesen pengecasan EV, pembuatan kenderaan elektrik dan industri berkaitan seperti tenaga boleh baharu dan pembuatan bateri. Peluang pekerjaan bagi penyelenggaraan teknologi-teknologi tersebut juga akan bertambah. Perluasan peluang pekerjaan berkemahiran kepada warga tempatan adalah meliputi industri penyediaan infrastruktur sokongan seperti stesen pengecasan EV, pembuatan kenderaan elektrik dan industri berkaitan seperti tenaga boleh baharu dan pembuatan bateri. Sebagai contoh, penerimagunaan teksi ataupun van elektrik akan memajukan industri ekopelancongan di bandar-bandar utama di Sabah dan WP Labuan; 


  1. kemajuan teknologi: EV merupakan teknologi terkini dalam mobiliti yang berkembang pesat di peringkat global. Penyelidikan dan pembangunan teknologi seperti di Universiti Malaysia Sabah dan sebagainya akan mampu bersaing dalam teknologi seperti teknologi bateri EV dengan kecekapan tenaga berasaskan sumber tempatan. Pusat latihan seperti Institut Latihan Industri (ILP) dan GiatMARA di Sabah boleh menjadi platform bagi melahirkan tenaga mahir dan separa mahir (upskilling dan reskilling) untuk menampung keperluan industri tempatan mahupun kehendak pasaran di luar; dan



  1. peningkatan daya saing ekonomi pada skala global: Dengan mempunyai pelbagai inisiatif dan teknologi hijau, negeri-negeri ini akan menjadi tumpuan pelaburan-pelaburan domestik mahupun antarabangsa kerana tersedianya keupayaan dan kepakaran tempatan.


  1. Bagi melonjakkan pembangunan industri mobiliti hijau melalui penggunaan kenderaan elektrik (EV) tempatan dan menggalakkan penerimaan rakyat terhadap penggunaan EV, Kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif di bawah Belanjawan 2024 yang boleh dimanfaatkan oleh semua negeri termasuk Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan seperti berikut:


  1. pemasangan 180 stesen pengecasan EV melalui pelaburan melebihi RM170 juta oleh syarikat seperti TNB, Gentari dan Tesla Malaysia;


  1. pengenalan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik kepada rakyat berpendapatan tahunan RM120 ribu ke bawah dengan pemberian rebat sehingga RM2,400 kepada pembeli bagi menggalakkan penggunaan motosikal elektrik; dan


  1. pelanjutan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga 2,500 ringgit ke atas perbelanjaan kemudahan pengecas EV untuk tempoh 4 tahun dan potongan cukai bagi kos sewaan EV untuk tempoh 2 tahun lagi.


  1. Seterusnya berhubung industri tenaga bio, tenaga Bio merupakan tenaga boleh baharu (TBB) yang terdiri daripada Biojisim dan Biogas yang telah diwartakan sebagai TBB di dalam Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 [Akta 725] bersama-sama sumber TBB yang lain seperti hidrokuasa kecil, fotovolta suria (solar PV) dan geoterma.


  1. Melalui mekanisme Tarif Galakan atau Feed-in tariff (FiT) yang diperkenalkan oleh Kerajaan pada tahun 2011, setakat bulan Oktober 2023,  kapasiti projek tenaga bio yang telah beroperasi adalah sebanyak 78.38 MW bagi biojisim dan 148.29 MW bagi biogas. Manakala sebanyak 176MW projek tenaga bio masih dalam pembinaan.


  1. Berdasarkan Malaysia Renewable Roadmap (MyRER) yang dilancarkan pada tahun 2021, tenaga bio di Malaysia mempunyai potensi kapasiti sebanyak 3.6 GW termasuk biojisim (2.3GW), biogas (736MW) dan sisa pepejal perbandaran (516 MW). Bagi Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah khususnya, , MyRER mengunjurkan potensi kapasiti penjanaan daripada bio tenaga adalah sebanyak 0.8GW. Penjanaan tenaga ini adalah daripada sumber sisa pertanian, haiwan dan perbandaran serta hazardous waste. Dari segi pelaburan, nilai pelaburan daripada tahun 2026 sehingga 2035 dianggarkan sebanyak RM3.06 billion. Manakala peluang pekerjaan yang ditawarkan adalah sebanyak 37,980.


  1. Tenaga bio memainkan peranan penting dalam ekonomi negara dan memberi sumbangan dalam mencapai sasaran 70% kapasiti TBB dalam campuran tenaga negara pada tahun 2050. Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 29 Ogos 2023 telah menetapkan sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya 1.4 GW kapasiti pepasangan tenaga bio pada tahun 2050. 


  1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Persekutuan sentiasa peka dengan usaha Kerajaan Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dalam menerajui inisiatif penjanaan dan pelaksanaan hidrogen hijau di Malaysia.

 

  1. Pelancaran Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) adalah landasan strategik bagi pembangunan ekonomi hidrogen di seluruh negara bagi menjadikan hidrogen sebagai salah satu sumber tenaga alternatif ke arah mencapai kemandirian teknologi dan menjamin keterjaminan tenaga. Tumpuan khusus dalam fasa pelaksanaan jangka masa pendek HETR ialah projek-projek demonstrasi hidrogen yang akan memacu permintaan domestik dan pasaran eksport. Pelaksanaan dimulakan dengan projek domestik yang praktikal dan berskala kecil bagi membuktikan kebolehlaksanaan ke peringkat komersil. Pendekatan ‘Bina Sebahagian, Beli Sebahagian’ atau ‘Build Some, Buy Some' secara bersepadu akan dijayakan ke arah pemacuan teknologi tinggi secara menyeluruh di sepanjang rantaian nilai ekonomi dan ekosistem hidrogen di samping membangunkan bakat tempatan. Projek-projek ini akan diterajui melalui kerjasama dan usahasama antara Kerajaan Persekutuan, Kementerian, Kerajaan Negeri Dan Industri.

 ​

  1. MOSTI sentiasa terbuka untuk meneroka peluang kerjasama dengan Kerajaan Negeri dan pemegang taruh di Sabah dalam sumber tenaga boleh diperbaharui yang berasaskan hidrogen. Antara projek R&D yang diusahakan oleh NanoMalaysia, MOSTI ialah:


  • kerjasama penyelidikan projek fito-perlombongan (phytomining) di tapak Kampung Monggis, Ranau, Sabah bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Fito-perlombongan ialah pengekstrakan bahan logam aktif daripada loji biojisim tinggi di bawah Program Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga NanoMalaysia (NESTI) bagi memperoleh nikel dan kobalt yang merupakan bahan aktif bateri jenis litium-ion dalam kenderaan EV atau mobiliti elektrik; dan

  • penjanaan hidrogen hijau dan terbitannya (penggasan) (gassification) dan pirolisis (pyrolysis)) melalui biojisim berasaskan sawit seperti EFB, OPT dan POME yang memanfaatkan POIC Lahad Datu, Sabah. Teknologi pirolisis ini dibangunkan oleh NanoMalaysia di bawah program Hydrogen EcoNanoMy bersama penyelidik tempatan untuk menghasilkan hidrogen dan karbon pepejal dalam bentuk bahan termaju seperti graphite, graphene dan tiub nano karbon. Proses ini melibatkan satu sistem penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon berintegrasi (CCUS) ke arah mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

  1. Pada masa ini juga, Kerajaan sedang dalam proses mengenal pasti potensi pembangunan CCUS di Sabah termasuk WP Labuan.

 

  1. Berkaitan cadangan untuk mempelbagaikan limpahan ekonomi nilai tambah yang tinggi melalui penggunaan teknologi moden, Kerajaan Persekutuan akan terus memastikan industri berasaskan peralihan tenaga seperti hidrogen, tenaga bio, mobiliti hijau dan CCUS kekal menjadi sektor yang terbuka kepada mana-mana pelabur, sama ada dari dalam atau luar negara yang berminat untuk mencadang, menilai dan membuat pelaburan di Labuan.


Sekian, terima kasih.​​

Attachments