Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Senator,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia prihatin dengan situasi konflik manusia dan spesies hidupan liar seperti gajah dan harimau termasuk di kawasan perkampungan Orang Asli di Ulu Jelai, Kuala Lipis, Pahang, Hulu Perak dan pedalaman Gua Musang, Kelantan.
Antara langkah perlindungan keselamatan yang telah diambil oleh Jabatan PERHILITAN bagi menghindari serangan hidupan liar seperti gajah dan harimau ialah:
(i) membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) kekal dan SPEG mudah alih di perkampungan Orang Asli;
(ii) melaksana kawalan rondaan serta pemantauan di kawasan konflik yang terletak di dalam kawasan habitat gajah. Tindakan tembak halau dijalankan bagi menghalau gajah masuk semula ke kawasan hutan berdekatan. Operasi tangkap-pindah gajah dijalankan jika gajah mengancam keselamatan penduduk; dan
(iii) memasang perangkap sekiranya terdapat aduan konflik serta menjalankan rondaan dan pemantauan penguatkuasaan di lokasi konflik.
Sekian, terima kasih.