Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman, fasa Monsun Timur Laut (MTL) telah melanda negara bermula 11 November 2023 dan dijangka akan berterusan sehingga bulan Mac 2024. Dalam tempoh ini, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku. Semasa fasa awal MTL dari November 2023 hingga Januari 2024, episod hujan lebat dijangka berlaku di negeri-negeri Pantai Timur, Johor dan barat Sarawak. Namun, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa yang sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain di Malaysia.
2. Manakala, pada fasa akhir MTL iaitu Februari hingga Mac 2024, dijangkakan utara Semenanjung, Kelantan, Terengganu, Sabah, Labuan dan utara Sarawak mengalami kurang hujan. Situasi ini berikutan El Nino yang dijangka berterusan hingga pertengahan 2024 dan Indian Ocean Dipole (IOD) positif pula dijangka sehingga suku pertama tahun 2024.
3. Sebagai persediaan menghadapi musim MTL 2023/2024, Kerajaan telah mengambil tiga langkah berikut:
a) Pra Bencana
i. melaksanakan program simulasi dan sesi libat urus di seluruh negara bagi memantapkan persediaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan agensi-agensi tindak balas melalui program simulasi dan sesi libat urus di seluruh negara;
ii. melaksanakan program Community Based Disaster Risk Management (CBDRM) di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap bencana serta peranan mereka sebagai initial responder; dan
iii. Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang beroperasi 24/7 untuk memantau keadaan cuaca secara berterusan dan akan mengeluarkan amaran hujan lebat sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk. Di peringkat negeri pula, taklimat-taklimat tinjauan cuaca juga disampaikan kepada agensi-agensi pengurusan bencana masing-masing bagi memastikan kesiapsiagaan untuk menghadapi MTL.
b) Persediaan Tindak Balas Bencana
Seramai 61,839 pegawai dan anggota daripada pelbagai cabang agensi Kerajaan di semua peringkat berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya dengan sokongan pelbagai aset.
c) Penyelarasan Pasca Bencana
Penambahbaikan mekanisme penyelarasan pasca bencana meliputi bantuan awal, pembersihan, dan bantuan pasca bencana kepada mangsa (termasuk bantuan kewangan dan pembaikan segera kerosakan infrastruktur). Ini termasuk meningkatkan kerjasama antara JPBN dan JPBD bersama NGO berkaitan penyelarasan pengurusan bantuan.
4. Bagi memastikan tindakan seberapa segera diambil apabila berlakunya sebarang kejadian bencana, Mesyuarat JPBP Bilangan 2 Tahun 2023 telah mengarahkan supaya JPBD diaktifkan dan peranannya di semua lokasi bencana diperkasakan. Di samping itu, semua JPBN dan JPBD juga diarahkan bersedia lebih awal untuk memastikan bantuan bekalan sampai ke lokasi yang terlibat bagi mengelakkan keadaan lebih sukar sekiranya jalan terputus dan sebagainya.
5. Bagi tujuan pengoperasian bencana MTL 2023/2024, sebanyak RM323.63 juta akan diperuntukkan kepada JPBN untuk kegunaan 160 buah daerah di bawah semangat Malaysia Madani bagi mengurangkan kesukaran dalam menguruskan bencana MTL saban tahun dan memastikan kebajikan rakyat yang terjejas sentiasa terpelihara.
Sekian, terima kasih.