Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

12 December 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

60

Soalan

Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan adakah Kementerian mempunyai sebarang perancangan untuk menyekat terus penggunaan beg plastik dan mewajibkan penggunaan beg alternatif yang lebih bersifat mesra alam.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) sentiasa serius dalam isu pengurusan sisa plastik yang boleh mencemarkan alam sekitar, khususnya jika ia tidak diuruskan dengan baik. Oleh yang demikian, bagi memantapkan kaedah pengurusan sisa plastik ini dilaksanakan melalui “Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 (Single-use Plastic (SUP) Roadmap)” dan “Malaysia Plastics Sustainability Roadmap 2021-2030 (MPSR)”. 


  1. Untuk makluman, Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-76 pada 18 November 2020 telah bersetuju secara dasar dengan cadangan pelaksanaan “Kempen Tiada Beg Plastik” oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Negara. Melalui kempen ini, premis perniagaan akan mengenakan caj pencemaran kepada pelanggan bagi setiap beg plastik yang dibekalkan kepada pengguna di kaunter pembayaran. Pengenaan caj ini berpandukan kepada prinsip “user-pay-principle”. Ini akan menjadi satu bentuk pencegahan dan usaha menghindari penggunaan beg plastik sekali guna yang kerap dibuang secara tidak terkawal. Setakat ini pelaksanaan dilaksanakan secara berfasa seperti pelaksanaan kempen tiada beg plastik percuma dan pengenaan caj pencemaran plastik melibatkan premis tetap sebelum diperluaskan secara berperingkat kepada premis perniagaan lain termasuk pasar malam, warung dan gerai tepi jalan


  1. Pihak Kementerian juga sedang meneliti beberapa kaedah yang sesuai bagi mencapai sasaran untuk mengawal penggunaan beg plastik sekali guna. Selain itu, Kementerian masih membuka ruang perbincangan berkenaan kebolehlaksanaan larangan ini bagi memastikan secara idealnya situasi menang-menang atau win-win situation kepada semua pihak dan tidak membebankan mana-mana pihak terutamanya pengguna dan pemain industri.



  1. Setakat ini, Kerajaan masih belum bercadang untuk menyekat sepenuhnya penggunaan beg plastik secara menyeluruh kerana masih terdapat keadaan dan keperluan tertentu yang dilihat memerlukan penggunaan beg plastik seperti ketika membeli barangan basah harian. Penggantian kepada produk alternatif masih memerlukan penelitian buat masa ini supaya penggunaannya nanti adalah praktikal di pasaran serta mesra alam. Untuk makluman, pada Oktober 2023, Kementerian dengan kerjasama SIRIM telah melancarkan satu standard baru bagi produk plastik yang lebih mesra alam. Produk ini boleh dijadikan panduan kepada industri untuk beralih kepada produk mesra alam. Langkah ini juga diharap dapat menggalakkan semua pemain industri dan pakar akademik untuk meneroka lebih banyak lagi produk alternatif yang mesra alam di masa akan datang.


  1. Untuk rekod, Kementerian ini amat menghargai inisiatif – inisiatif oleh Kerajaan Negeri, PBT dan pasaraya tertentu yang tidak lagi menawarkan beg plastik di kaunter premis masing-masing sama ada secara menyeluruh atau pada hari-hari tertentu. Pada masa yang sama, Kementerian ini merakamkan penghargaan terhadap usaha yang telah dilaksanakan oleh para pemain industri yang telah menggunapakai produk alternatif yang mesra alam dalam menawarkan ganti plastik. Pihak Kerajaan khususnya Kementerian menyeru agar lebih banyak pihak dapat mengambil bahagian secara sukarela untuk menjayakan inisiatif ini


  1. Kementerian sentiasa berpendirian bahawa intervensi atau pendekatan secara bersasar adalah amat penting dalam mencapai keseimbangan bagi mengekang pencemaran akibat sisa buangan plastik melalui langkah pencegahan dan pembasmian produk plastik sekali guna yang bermasalah. Ini juga akan seterusnya memaksimakan potensi plastik dalam ekonomi kitaran yang dapat memberikan pulangan pendapatan yang besar kepada negara. Usaha dan kempen kesedaran akan terus dipergiatkan bagi memastikan semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan matlamat tersebut.


Sekian, terima kasih.

Attachments