Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Ketiga

Tarikh Persidangan

14 December 2023

Tahun Persidangan

2023

Kategori

Air

Nombor Soalan

34

Soalan

Dato' Sri Ti Lian Ker minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan rasional Kementerian membenarkan operator air di setiap negeri untuk menentukan sendiri mekanisme penetapan tarif air tanpa perlu persetujuan di peringkat Persekutuan dan sejauh manakah sesi libat urus telah dilaksanakan oleh pihak Kementerian dalam mendapatkan input mengenai mekanisme ini.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Seksyen 84 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) telah menetapkan bahawa Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim atas syor Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) boleh membuat peraturan-peraturan untuk menetapkan aras kadar yang hendak dikenakan (tarif) bagi perkhidmatan bekalan air dan pembetungan.


  1. Kementerian melalui SPAN telah memperkenalkan Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) untuk mewujudkan mekanisme penetapan tarif air yang telus, adil, progresif dan sistematik. Pelaksanaan TSM adalah merupakan usaha penting bagi memastikan industri perkhidmatan bekalan air berada di landasan yang tepat untuk mencapai kemapanan jangka masa panjang. Mekanisme TSM ini mempunyai dua ciri penting. Ciri pertama ialah penyeragaman struktur tarif sedia ada bagi mewujudkan asas penetapan tarif air yang seragam. Manakala, ciri kedua ialah pelarasan kadar tarif sedia ada secara beransur-ansur agar sepadan dengan kos sebenar supaya operator air mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk melaksanakan obligasinya sebagai pembekal perkhidmatan bekalan air.


  1. Mengambil kira keperluan penglibatan semua pihak berkepentingan dalam proses formulasi dasar berhubung pelaksanaan TSM, SPAN telah melaksanakan konsultasi secara bersemuka dan secara dalam talian bersama operator air, kerajaan negeri serta wakil pengguna domestik, pengguna komersial dan badan bukan kerajaan sejak tahun 2016 berpandukan peruntukan di bawah Seksyen 178 Akta 655. Secara keseluruhannya, operator-operator air menyokong pelaksanaan TSM dan cadangan pelarasan tarif yang dibangunkan oleh Kementerian.


Sekian, terima kasih.​

Attachments