Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 2 | Sesi | Mesyuarat Ketiga | Tarikh Persidangan | 14 December 2023 | Tahun Persidangan | 2023 | Kategori | Biodiversiti, Perhutanan | Nombor Soalan | 43 | Soalan | Datuk Lim Pay Hen minta MENTERI SUMBER ASLI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM menyatakan usaha bersepadu oleh Kementerian dalam menangani isu kemampanan yang serius dalam negara seperti penebangan hutan dan kehilangan biodiversiti yang membimbangkan sehingga memberi kesan ke atas keseimbangan ekosistem di Malaysia. | Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Persekutuan komited dalam melaksanakan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB) untuk memastikan negara terus menikmati segala faedah yang diperolehi dari sumber hutan secara berterusan. Perkara ini adalah selaras dengan Dasar Perhutanan Malaysia di mana Kerajaan akan terus memelihara, memulih dan mengurus kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) atau hutan simpan berdasarkan prinsip-prinsip PHSB.
Antara usaha bersepadu yang dilaksanakan Kementerian dalam menangani isu kemampanan yang serius dalam sektor perhutanan negara adalah seperti berikut:
mengadakan rundingan dengan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) melalui platform Majlis Tanah Negara (MTN) untuk menyelaras amalan pengurusan dan penggunaan sumber hutan secara terancang, rasional dan berkesan;
mempergiatkan usaha ke arah mewartakan kawasan-kawasan berhutan baharu sebagai HSK dengan sasaran untuk meningkatkan jumlah kawasan HSK di Semenanjung Malaysia kepada 5 juta hektar, berbanding 4.8 juta hektar pada masa ini;
melaksanakan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) untuk mengimbangi jumlah pengeluaran dan penghasilan kayu dengan keupayaan dan keluasan kawasan hutan pengeluaran dalam HSK, yang diputuskan dalam MTN pada setiap tempoh Rancangan Malaysia Lima Tahun. Penetapan CTT adalah berdasarkan kepada keupayaan pemulihan semula jadi (natural regeneration capacity) kawasan hutan yang diusahasil;
mempertingkatkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan melalui Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, Program Restorasi, Tebus Guna dan Pemuliharaan Kawasan Terosot di Semenanjung Malaysia (3RSM) dan Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-Spesies Yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara; dan
menyediakan Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan (Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation - EFT) kepada Kerajaan-kerajaan Negeri yang melaksanakan usaha melindungi kawasan hutan tadahan air dan kawasan perlindungan sedia ada serta menambah kawasan perlindungan dan HSK yang baharu.
Sekian, terima kasih. | Attachments |
|
|