Tuan Yang di-Pertua,
Malaysia sentiasa komited dalam memelihara dan memulihara biodiversiti. Komitmen ini jelas dinyatakan dalam ikrar semasa Sidang Kemuncak Bumi pada tahun 1992 di Rio de Janeiro, Brazil di mana Malaysia beriltizam untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan hutan dan pokok-pokok. Pada masa ini, kawasan berhutan negara adalah seluas 18,045,600 hektar atau 54.58 peratus daripada keluasan tanah negara.
Sebagai usaha berterusan untuk memelihara dan memulihara biodiversiti negara, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) telah melancarkan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 (DKBK) pada 24 Oktober 2023.
DKBK menekankan kepentingan dalam meningkatkan pengurusan biodiversiti melalui pendekatan senegara dan penglibatan komuniti secara menyeluruh (whole-of-nation and whole-of society approach). DKBK mengandungi 5 matlamat, 17 sasaran serta 61 tindakan dan indikator ke arah memulihara biodiversiti, menggalakkan penggunaannya secara mampan dan perkongsian faedahnya secara adil dan saksama. Antara langkah-langkah yang telah digariskan untuk mengukuhkan pengurusan biodiversiti negara adalah seperti berikut:
(i) menubuhkan Pusat Biodiversiti Kebangsaan (Malaysia Biodiversity Centre - MBC) sebagai pusat kecemerlangan (centre of excellence) bagi pengurusan biodiversiti di peringkat kebangsaan;
(ii) meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan biodiversiti;
(iii) mengarus perdana pengurusan biodiversiti dengan mengintegrasi aspek pemeliharaan biodiversiti dalam perancangan pembangunan negara dan proses pembuatan keputusan;
(iv) mengukuhkan konservasi in-situ dan ex-situ bagi spesies terancam; dan
(v) melindungi ekosistem melalui pemuliharaan kawasan perlindungan dan kaedah-kaedah lain yang berkesan bagi pemuliharaan berlandaskan kawasan (other effective area-based conservation measures - OECM).
Sekian, terima kasih.